Foto: Tangkapan skrin layar TikTok
Seorang warga pendidik menerima kejutan luar jangka apabila dihadiahkan sebuah motosikal baharu oleh bekas pelajar yang suatu ketika dahulu sering dilabel sebagai pelajar kelas ‘belakang’, sempena majlis persaraannya.
Advertisement
Detik penuh emosi itu tular selepas dimuat naik oleh pengguna TikTok @zdserai36.
Dalam video berkenaan, Zainol Ramli yang berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan Naka diraikan dalam satu majlis khas di sekolahnya.
Beberapa bekas pelajar dilihat tampil ke hadapan pentas sebelum salah seorang daripada mereka menyerahkan kunci motosikal sebagai simbolik penyerahan hadiah. Guru berkenaan kemudian menghidupkan enjin motosikal tersebut, sekali gus menceriakan suasana majlis.
Menurut perkongsian kapsyen, Zainol dikenali sebagai guru yang tidak pernah meminggirkan pelajar, termasuk mereka yang sering dianggap bermasalah atau lemah akademik.
Malah, beliau dikatakan kerap menziarahi kediaman pelajar bagi memastikan mereka tidak tercicir dan terus hadir ke sekolah.
@zdserai9336 Selamat bersara @CIKGU NON KOLA NERANG ..Rezeki Ramadan ..Cikgu yg sgt prihatin terhadap kebajikan ank2 Nakarian..Hari ini anak murid kelas Belakang hadiah kan motor baru buat cg kesayangan mereka..Rupanya benci tandanya syg.. Tahun LPs cg ni yg slalu ziarah cakna ke rumah depa saat mereka belum matang .. Seorang guru yang Xpernah Bputus Asa dalam memastikan murid hadir ke Sekolah .. Saat dikecam oleh orang sekeliling guru ini hadir dgn pelbagai intervensi memastikan semua pelajar hadir dan menduduki SPM .. Guru ini yg banyak menabur jasa dan mencari penaja dalam memastikan keadaan Sekolah selesa dan ceria utk dihuni oleh warga Nakarian.. Seorang guru yg Xpernah Berkira dengan anak murid dan rakan sekerjaa..Alhamdullilah dihari persaraan nya ank@Murid kelas Belakang hadir memberi hadiah suprise Motor baru.. Kami pulak yg terharu.. #fyp #fypシ゚viral #xyz #guru #suprise ♬ Salam Terakhir - ◦•●◉✿💞🇷 🇪 🇪 🇿💞✿◉●•◦
“Tahun lalu, cikgu inilah yang selalu ke rumah mereka ketika masing masing masih belum matang. Walaupun ada suara sumbang, beliau tetap laksanakan pelbagai usaha supaya pelajar hadir dan menduduki SPM,” tulis pemilik akaun tersebut.
Selain memberi perhatian terhadap kehadiran pelajar, Zainol juga dilaporkan berusaha mendapatkan tajaan bagi menambah baik kemudahan sekolah demi keselesaan warga pendidik dan pelajar.
Penghargaan yang diberikan itu meraih pelbagai reaksi positif daripada orang ramai. Ramai menyifatkan hadiah tersebut sebagai tanda terima kasih yang cukup bermakna daripada pelajar yang pernah dibimbing tanpa jemu.
Seorang pengguna berpendapat walaupun motosikal berkenaan mungkin kelihatan sederhana, nilainya di sisi seorang guru jauh lebih besar kerana ia melambangkan kasih sayang dan penghargaan bekas anak didik.
Ada juga yang mengingatkan agar masyarakat tidak memandang rendah pelajar kelas belakang kerana masa depan seseorang tidak dapat dijangka. Dalam pada itu, ramai turut mendoakan agar bekas pelajar terbabit terus berjaya sebagai balasan atas keikhlasan mereka menghargai jasa guru.
Sumber: TikTok @zdserai9336