Foto: Astro AWANI
Sekumpulan penyelidik berjaya menemui apa yang dipercayai sebagai mumia tertua di dunia di rantau Asia Tenggara, dengan anggaran usia mencecah 12,000 tahun, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS).
Advertisement
Menurut kajian itu, rangka manusia ditemui dalam keadaan dikebumikan secara mencangkung atau duduk, dengan sebahagiannya menunjukkan kesan potongan serta terbakar. Penemuan utama direkodkan di China dan Vietnam, manakala penemuan lain yang lebih kecil turut dikesan di Filipina, Laos, Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Sisa-sisa rangka dari China, Vietnam dan Indonesia didapati masih terpelihara berikutan pendedahan lama kepada suhu rendah, walaupun tiada tanda jelas proses mumifikasi seperti yang biasa diketahui.
Analisis lanjut pada tulang menunjukkan mayat berkenaan mungkin sengaja didedahkan kepada haba, sekali gus memberi petunjuk bahawa masyarakat pada era tersebut menggunakan asap dan api untuk mengawet serta mengeringkan tubuh si mati.
“Beberapa sampel arkeologi yang dikaji ini mewakili bukti tertua mengenai mumifikasi buatan manusia yang pernah dikenal pasti di dunia,” jelas laporan berkenaan.
Foto: Astro AWANI
Untuk tujuan penyelidikan, pelbagai kaedah digunakan termasuk imbasan sinar-X bagi mengenal pasti komposisi mineral, serta spektroskopi inframerah transformasi Fourier untuk menganalisis ikatan kimia. Sebanyak 54 pengebumian prasejarah daripada 11 tapak arkeologi di Asia Tenggara dijadikan sampel kajian.
Walaupun mumia Mesir lebih masyhur, rekod terdahulu menunjukkan mumia terawal sebelum ini dihasilkan sekitar 7,000 tahun lalu oleh masyarakat Chinchorro, iaitu komuniti nelayan yang menghuni kawasan yang kini dikenali sebagai Peru dan Chile.
Sumber: Astro AWANI