
Seorang wanita warga Rusia yang tular videonya berada di puncak Menara Merdeka 118 mendedahkan pengalaman dan penyamarannya menerusi akaun Twitternya semalam.
Advertisement
Wanita yang dikenali sebagai Angela Nikolau menceritakan pengalamannya dari awal hingga berjaya berada di puncak pencakar langit tertinggi di Malaysia itu. Menurutnya, dia jatuh cinta pandang pertama dengan Merdeka 118.
“Ia bangunan yang sangat megah di tengah bandar yang menakjubkan. Saya perlu menemukannya dan berkongsi pemandangan itu dengan orang lain.
Jelas Angela lagi, dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara yang bagus supaya boleh melakukan pemantauan sebelum memasukinya.
“Saya menghabiskan beberapa minggu untuk mengenal pasti segala maklumat terperinci sebelum memasuki bangunan tersebut.

Pada hari pendakian, Angela memulakan misinya dengan memakai tudung, cermin mata dan juga pakaian seragam pekerja di situ supaya kehadirannya tidak disedari.
“Saya berlari hingga ke tingkat 32 sebelum terbaring kerana kekurangan air. Saya terpaksa baring dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri dan minum semua air yang saya ada” jelasnya.
Semasa tengah berehat, Angela sedar kehadirannya telah disedari oleh pekerja di situ. Mimpi ngerinya bermula apabila terpaksa bersembunyi dalam satu kotak konkrit kecil di mana kakinya tak mampu diregangkan.
“Saya tak tahu saya terpaksa berada di situ lebih daripada 20 jam.
Angela tak mampu menangis dan terpaksa bertahan dengan kaki dan badan yang sakit kerana bimbang tangisannya akan didengari dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
“Ia adalah masa paling teruk dalam hidup saya," ujarnya.

Walaupun berada dalam keadaan sukar, Angela perlu meneruskan misinya.
"Jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi itu.
"Saya perlu kuatkan diri dan mula melakukan sesuatu. Nasib baik pekerja di situ berehat dan saya boleh keluar dan berlari ke puncak menara!" katanya.
Angela memberitahu dia memanjat menara setinggi 53 tingkat itu dengan menggalas beg seberat 15 kilogram.
"Saya tidak pasti jika saya ingin mendakinya jika saya tahu betapa tingginya menara itu. Selepas saya selesai mendaki, saya tidak merasakan lengan saya dan tidak dapat mengangkatnya," katanya
Bagaimanapun, semangatnya meningkat semula sebaik melihat pemandangan menara tersebut.
"Ketika itu adalah musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan dan landskap kelabu. Sebaliknya saya melihat sinaran matahari dan kecantikan yang luar biasa
"Ia adalah keajaiban peribadi saya. Saya berasa terjaga dan bertenaga semula. Semuanya berbaloi!" ujarnya lagi.
Jelasnya ini adalah pendakian yang paling sukar dalam hidupnya dan merasakan tidak mampu untuk mengulanginya semula.
Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.