Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, berada dalam radar sebagai antara prospek utama untuk menggalas cabaran negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2025 Rhine-Ruhr di Jerman.
Memetik laporan Bernama, berita gembira itu diberitahu oleh Ketua Kontinjen Pasukan, Datuk Prof Madya Ts Dr Mohd Hafiz Yusoff.
Advertisement
Menurutnya, pemilihan akhir masih bergantung kepada perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memastikan tiada konflik jadual dengan kejohanan lain selain mengambil kira prestasi dan tahap kecergasan semasa atlet.

Foto: Astro Arena
"Muhammad Azeem memang antara dalam senarai calon, tetapi kami perlu melakukan verifikasi dan semakan dengan MSN bagi mengelakkan sebarang pertindihan jadual. Itu yang menjadi keutamaan kami.
"Jika prestasinya ok dan dia bebas daripada kecederaan, insya-Allah kita akan bawa pasukan terbaik ke Jerman tahun ini," katanya kepada wartawan selepas Majlis Pelancaran Program Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), malam tadi.
Hafiz menjelaskan, Jawatankuasa Kontinjen Malaysia akan mengadakan bengkel pemilihan atlet bagi menyenarai pendek 60 atlet yang akan bertanding dalam tujuh daripada 19 acara yang dipertandingkan di Universiade 2025.

Foto: Astro Arena
Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara memanah, olahraga, badminton, terjun, gimnastik artistik, renang dan taekwondo.
"Sasaran dan pencapaian kontinjen akan diumumkan kemudian, kerana kami masih dalam proses pemilihan atlet dengan menilai prestasi semasa mereka berdasarkan input daripada MSN dan Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti.
"Kos ke Jerman agak tinggi, jadi kami perlu membuat kajian dan hanya menyertai acara yang mempunyai potensi untuk menang. Kejohanan ini sangat kompetitif jadi kami mahu atlet terpilih mampu memberi saingan dan memperbaiki rekod," katanya.
Mohd Hafiz menjelaskan bahawa Malaysia bakal berdepan saingan sengit di kejohanan berstatus elit itu yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 27 Julai ini.
Sumber: Sinar Harian