Foto: Instagram
Lebih dua dekad bergelumang dalam dunia muzik, nama Misha Omar kekal utuh sebagai salah satu suara paling berpengaruh di Malaysia. Di sebalik kejayaan dan pengiktirafan, penyanyi bernama penuh Samihah@Aisah Omar, 43, mengakui perjalanan seninya bukan tanpa ujian.
Advertisement
Mula dikenali selepas menjuarai Bintang RTM 2001 dan meledak dengan lagu Bunga-Bunga Cinta setahun kemudian, Misha berkata laluan yang ditempuh penuh liku dan pernah membuatnya hampir menyerah.
“Sebagai manusia biasa, saya juga melalui pasang surut emosi. Ada waktu saya terfikir untuk berhenti, tapi bila mengingatkan niat asal menyanyi untuk memberi makna kepada orang lain, semangat itu kembali. Sokongan keluarga dan penggemar lagu-lagu saya juga menjadi kekuatan utama,” katanya kepada media.
Misha mengakui, ketika di awal kariernya dia mudah tersentuh apabila dikritik. Namun kini, dengan kematangan usia dan pengalaman, dia lebih tenang mendepani sebarang komen.
“Menangis bukan bermakna saya tak boleh dikritik. Saya menangis sebab saya manusia. Kadang tangisan itu ubat untuk hati yang resah. Tapi sekarang saya tak lagi biarkan emosi menguasai diri. Kritikan yang membina tetap saya ambil untuk memperbaiki diri,” ujarnya.
Pemilik suara lantang ini baru-baru ini mencuri perhatian apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital ikonik Times Square, New York, sebagai sebahagian daripada kempen Spotify EQUAL, pengiktirafan buat figura wanita dalam muzik global.
Mengulas mengenai konsert solonya DiA Misha Omar yang bakal berlangsung pada 29 November ini, penyanyi kelahiran Kelantan itu tidak menyembunyikan keterujaannya.
Konsert anjuran Double M Production dengan kerjasama Altus Prohouse itu akan diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur, lokasi yang menurut Misha cukup ideal bagi mendekatkannya dengan penonton.
“Saya lebih suka suasana intim. Saya mahu berinteraksi, bergurau dan bercerita dengan mereka. Saya panggil mereka bukan peminat, tapi ‘kawan Kak Mitch’ sebab mereka ada ketika saya jatuh dan bangun,” katanya sambil tertawa kecil.
Tambah penyanyi lagu Break itu, persiapan rapi sedang giat dijalankan, termasuk latihan vokal bersama Datuk Syafinaz.
“Syukur, tiga kategori tiket sudah habis ditempah. Saya tak sangka sudah melangkaui lebih 20 tahun dalam industri ini. DiA Misha Omar akan jadi satu kenangan yang istimewa,” katanya.
Walaupun sibuk, Misha masih menunaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak, Muhammad Adam Emir, 19, dan Idris Ezzawa, 9.
“Setiap pagi saya akan hantar Idris ke sekolah, kemudian balik uruskan rumah dan memasak. Tiada pembantu, semuanya saya buat sendiri. Mujur Adam banyak membantu adiknya,” kongsinya sambil berharap agar persiapan konsert berjalan lancar.
“Doakan semuanya dipermudahkan,” ujar isteri kepada juruterbang Firoz Ezzwan Rossly itu menutup bicara penuh syukur.