Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Lebih Dua Dekad Berkarya, Misha Omar Teguh Angkat Martabat Wanita Dalam Muzik

lebih dua dekad berkarya, misha omar teguh angkat martabat wanita dalam muzikFoto: Instagram

Penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar, meluahkan rasa syukur apabila diberi penghormatan untuk menyertai kempen global EQUAL yang meraikan suara wanita dalam industri muzik.

Advertisement

“Jauh di sudut hati, ini bukan hanya kejayaan Kak Mitch, tetapi kejayaan kita bersama,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Misha menegaskan, setiap langkah di pentas dan bait lagu yang dinyanyikan adalah sebahagian daripada perjuangan untuk membina jambatan buat generasi wanita seterusnya bersinar dengan lebih terang.

“Sebagai wanita, setiap suara kita membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang, dan kecekalan,” tambahnya.

Sejak lebih dua dekad bergelar penyanyi, Misha menyifatkan muzik sebagai legasi hati, medium untuk menyampaikan cinta dan ketabahan kepada pendengar.

Beliau turut berterima kasih kepada Sony Music Malaysia yang kekal menjadi tulang belakang dalam perjalanan seninya selama 23 tahun.

EQUAL yang diperkenalkan pada 2021 merupakan inisiatif global untuk memperkasakan artis wanita, dengan memberi ruang promosi di peringkat antarabangsa.

Program ini telah menampilkan ribuan penyanyi dari seluruh dunia termasuk NIKI dari Indonesia dan Reese Lansangan dari Filipina, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk bakat wanita dihargai.

Bagi Misha, pengiktirafan ini bukan sekadar tanda penghormatan kepada kerjayanya, tetapi juga mesej jelas bahawa suara wanita mampu memberi inspirasi dan kekuatan kepada masyarakat.

Sumber: Instagram

SINAR Muzik Retro Terbaik