
Menara Merdeka 118, ikon kebanggaan Malaysia yang menjulang megah di tengah-tengah ibu kota, kini secara rasmi diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik Dunia (kategori 300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU), sebuah pengiktirafan berprestij yang menobatkan Malaysia di peta global seni bina moden.
Advertisement
Anugerah bersejarah itu diumumkan pada Majlis Anugerah CVU 2025 di Toronto, Kanada, yang menghimpunkan pakar-pakar bandar, arkitek dan jurutera dari seluruh dunia bagi meraikan kecemerlangan dalam reka bentuk bangunan tinggi serta pembangunan bandar mampan.
CVU, yang dahulunya dikenali sebagai Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) merupakan badan berautoriti antarabangsa dalam menilai inovasi dan kehebatan bangunan pencakar langit.
Menurut PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV), pengiktirafan ini mencerminkan kepakaran kejuruteraan, ketelitian seni bina, serta komitmen terhadap kelestarian yang menjadi teras pembinaan Merdeka 118.

Berdiri megah setinggi 678.9 meter, Merdeka 118 bukan sahaja bangunan tertinggi di Asia Tenggara, tetapi juga menara kedua tertinggi di dunia, satu pencapaian luar biasa yang mewakili semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia.
Antara elemen utama yang dijangka menjadi tarikan utama termasuk 118 Mall, Stadium Merdeka, serta pelbagai inisiatif komuniti seperti Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118, yang bertujuan menghidupkan semula kawasan sekitar serta memperkukuh hubungan kejiranan di Kuala Lumpur.
Dengan pengiktirafan global ini, Malaysia bukan sahaja membuktikan keupayaan dalam bidang seni bina dan kejuruteraan moden, tetapi juga menegaskan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan bandar lestari dan inklusif di rantau ini.
Sumber: BERNAMA