Baru-baru ini, Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir menyatakan cadangannya untuk pembinaan sebuah synagogue (rumah ibadat Yahudi) di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.

Susulan itu, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan “penolakan mutlak” negara itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai “kenyataan ekstremis dan provokatif” oleh menteri Israel berhaluan kanan berkenaan.
Advertisement
Malah, Arab Saudi juga menggesa agar status sejarah dan undang-undang Masjid Al-Aqsa dihormati.
Menurut kenyataan itu, kerajaan Arab Saudi memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa agar mengambil tanggungjawab dalam menghentikan malapetaka kemanusiaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin serta mengaktifkan mekanisme serius untuk mendesak pegawai Israel bertangungjawab atas pelanggaran undang-undang, norma, dan resolusi antarabangsa yang berterusan.
Kawasan Masjid Al-Aqsa yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, mempunyai kepentingan suci bagi kedua-dua umat Islam dan Yahudi dan telah lama menjadi punca konflik antara kedua-dua pihak.
Mengikut status quo, penganut bukan Islam dibenarkan melawat kawasan itu di tengah-tengah Kota Lama tetapi tidak dibenarkan berdoa di sana.
Sumber: Bernama