Foto: Flower Advisor Singapore
Setiap kali tiba perayaan Deepavali, ia sering digelar sebagai ‘Festival of Lights’. Namun, ramai mungkin tidak tahu maksud sebenar di sebalik gelaran ini dan bagaimana ia menjadi simbol penting dalam budaya masyarakat India.
Advertisement
Menurut National Geographic Kids, perkataan Deepavali berasal daripada gabungan dua perkataan Sanskrit iaitu deepa yang bermaksud pelita tanah liat, dan avali yang bermaksud barisan. Pelita atau lilin yang dipasang melambangkan cahaya yang mengusir kegelapan rohani. Inilah sebab utama mengapa Deepavali dikenali sebagai Festival of Lights.
Menariknya, sambutan Deepavali bukan hanya diraikan oleh penganut Hindu. Dalam agama Jainisme, ia memperingati kebangkitan rohani (nirvana) Mahavira, manakala bagi penganut Sikh, ia memperingati pembebasan Guru Sikh keenam, Guru Hargobind Ji, dari penjara.
Tradisi Deepavali di Malaysia
Di Malaysia, Deepavali disambut dengan pelbagai tradisi yang mencerminkan nilai kekeluargaan, kesyukuran dan harapan baharu.
Antara amalan yang menjadi simbol sambutan ialah:
1. Hiasan Kolam (Rangoli)
Seni hias lantai ini dibuat menggunakan serbuk kapur atau beras berwarna dalam bentuk geometri dan dianggap membawa tuah serta kekayaan.
2. Memakai Pakaian Baharu
Pakaian baharu melambangkan permulaan baharu. Wanita biasanya memakai sari manakala lelaki mengenakan kurta dan dhoti berwarna terang.
3. Ritual Keagamaan dan Ziarah Kuil
Ramai keluarga melakukan upacara berdoa di rumah atau kuil serta memperingati nenek moyang yang telah tiada.
4. Menikmati Murukku dan Manisan
Murukku menjadi snek wajib Deepavali, selain manisan tradisional seperti athi resam, halwa dan laddoo.
5. Menyalakan Pelita
Pelita kecil disusun di halaman rumah, pagar dan pintu sebagai simbol cahaya yang menyingkirkan kegelapan.
Sambutan Berbeza Mengikut Kawasan
Di Malaysia, Deepavali biasanya disambut selama dua hari iaitu pada malam sebelum perayaan dan hari perayaan utama. Malam sebelumnya dikhaskan untuk doa kepada nenek moyang dan hanya disertai ahli keluarga rapat.
Sekiranya terdapat kematian dalam keluarga terdekat, Deepavali tidak diraikan pada tahun tersebut sebagai tanda hormat.
Sementara itu, di utara India, Deepavali disambut selama lima hari bermula dengan Dhanteras (hari membeli emas dan pembersihan rumah) hingga Bhai Dooj (meraikan kasih antara adik-beradik).
Setiap hari mempunyai makna tersendiri yang berkait rapat dengan nilai spiritual, kejayaan menentang kejahatan serta permulaan baharu.
Maka tidak hairanlah, Deepavali terus dikenali sebagai Festival of Lights yang merupakan satu perayaan yang meraikan kemenangan cahaya melawan kegelapan, kebaikan menewaskan kejahatan, dan harapan mengatasi keputusasaan.
Sumber: National Geograpic Kids