Seorang individu terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di dalam parit bahu jalan di Jalan Putatan, berhampiran Kem Lok Kawi, Penampang, Sabah.

Mangsa dikenali sebagai Sefuan Taha dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu, akhirnya ditemui bersama sebuah motosikal.
Advertisement
Saksi Ibnu Ismail mengatakan dia dan beberapa rakannya menemui mayat terbabit sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan semak di bahu jalan berkenaan.
Tambahnya, dia melihat tayar motosikal ketika sedang menebas rumput sebelum terus cuba mendekati dan mengambilnya.
“Apabila menghampiri, saya terkejut melihat seorang lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan terduduk bersebelahan dengan motosikal itu.
“Saya tergamam dan terus memaklumkan kepada rakan untuk menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang dilihat menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman dan mengesahkan mangsa adalah Sefuan.
Sumber: Kosmo Online