
Nama besar teknologi dunia, Mark Zuckerberg, kini berada di tengah-tengah perbicaraan bersejarah apabila diheret ke Mahkamah Tinggi Los Angeles berhubung dakwaan Instagram direka bersifat ketagihan dan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif Meta itu tampil memberi keterangan di hadapan juri, berdepan tuduhan serius bahawa platform miliknya memancing pengguna muda demi keuntungan termasuk seorang wanita muda dikenali sebagai Kaley yang mendakwa dirinya terkesan sejak usia sembilan tahun.
Dalam keterangannya, Zuckerberg mempertahankan syarikatnya dengan menyatakan beliau percaya Meta telah mengurus keselamatan pengguna muda secara munasabah.
Namun di luar mahkamah, suasananya jauh berbeza.
Sekumpulan ibu bapa dari seluruh negara berkumpul sambil berpegangan tangan, menunggu ketibaan Zuckerberg. Mereka mendakwa anak-anak mereka menjadi mangsa eksploitasi platform media sosial.
Seorang ibu, Julianna Arnold, malah mendakwa kematian anak perempuannya berusia 17 tahun berpunca daripada Instagram.
“Niat syarikat ialah menjadikan remaja sebagai mangsa dan mengeksploitasi mereka untuk keuntungan. Ia dilakukan dengan sengaja,” katanya penuh emosi.
Kaley pula mendakwa beliau menggunakan Instagram berjam-jam setiap hari malah pernah mencecah 16 jam sehari sehingga mengalami keresahan, gangguan imej tubuh, pemikiran membunuh diri serta menjadi mangsa buli dan pemerasan seksual.
Peguamnya, Mark Lanier, turut membangkitkan dokumen dalaman 2015 yang menganggarkan lebih empat juta pengguna Instagram ketika itu adalah kanak-kanak bawah 13 tahun walaupun aplikasi mensyaratkan umur minimum 13 tahun.
Lebih mengejutkan, Instagram hanya mula mewajibkan pengguna baharu memasukkan tarikh lahir pada Disember 2019. Sebelum itu, pengguna sekadar perlu mengesahkan bahawa mereka berusia lebih 13 tahun.
Ini bermakna Kaley tidak pernah diminta membuktikan umurnya ketika mula menyertai platform tersebut.
Meta menegaskan mereka sangat tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut dan yakin bukti akan menunjukkan komitmen syarikat terhadap keselamatan pengguna muda.
Peguam Meta berhujah bahawa masalah mental Kaley berpunca daripada latar belakang keluarga yang mencabar, bukan semata-mata media sosial. YouTube turut menafikan tuduhan dalam saman itu.
Zuckerberg juga menjelaskan bahawa Meta kini tidak lagi menumpukan kepada masa skrin semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada kegunaan dan nilai kepada pengguna.

Foto Hiasan
Mengenai isu beauty filters, beliau berkata Instagram membenarkan ciptaan pengguna atas dasar kebebasan bersuara, namun tidak mencipta atau mempromosikannya sendiri.
Kes ini berpotensi menjadi titik perubahan besar. Jika Meta dan YouTube kalah, mereka mungkin berdepan kerugian berbilion dolar serta dipaksa mengubah struktur platform yang selama ini membentuk gaya hidup generasi muda.