Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Penemuan Artifak Purba Buktikan Manusia Pernah Huni Sulawesi Lebih Sejuta Tahun Lalu

penemuan artifak purba buktikan manusia pernah huni sulawesi lebih sejuta tahun laluFoto: Agensi

Penemuan sejumlah artifak kuno di Tapak Arkeologi Calio, Kabupaten Soppeng, Sulawesi Selatan menjadi bukti kukuh bahawa Pulau Sulawesi pernah didiami oleh manusia purba antara satu juta hingga 1.5 juta tahun yang lalu.

Advertisement

Menurut pakar arkeologi dari Griffith University, Australia, Profesor Adam Brumm, penemuan ini bukan sahaja mengukuhkan bukti kewujudan penempatan awal manusia purba di rantau Asia Tenggara, malah mencabar anggapan sebelum ini yang menyatakan Sulawesi hanya menjadi laluan perantara migrasi.

“Dapatan terbaru ini menunjukkan bahawa Pulau Sulawesi pernah dihuni secara tetap oleh manusia purba. Ini menjadikan Sulawesi setaraf dengan Flores, Indonesia dan Luzon, Filipina sebagai lokasi penting dalam sejarah awal penempatan manusia,” jelasnya ketika ditemui pada Khamis.

Artifak tersebut ditemui di sebuah kebun jagung milik penduduk tempatan di Desa Calio, Kecamatan Lilirilau. Penyelidikan sistematik di kawasan itu telah dimulakan sejak tahun 2019, dengan tumpuan terhadap serpihan batu yang merupakan sisa hasil pembuatan peralatan besar oleh manusia purba.

Ujian dan penentuan tarikh ke atas fosil dan artifak yang ditemukan di lokasi sama mengesahkan bahawa artifak berkenaan berusia antara 1.04 juta hingga 1.48 juta tahun, sekali gus menjadikannya antara penemuan terpenting di rantau ini.

“Serpihan batu tersebut dipercayai digunakan untuk memotong dan membentuk pelbagai peralatan lain, yang menunjukkan tahap kemahiran teknikal yang tinggi dalam kalangan manusia purba ketika itu,” katanya.

Tambah Profesor Brumm, penemuan ini turut memberikan gambaran baharu mengenai kemampuan manusia purba untuk melakukan perjalanan merentasi laut bagi mencapai kepulauan di rantau Wallacea, termasuk Sulawesi.

“Penemuan ini mengubah cara kita menilai bagaimana dan bila manusia purba mula berhijrah dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kepulauan Asia Tenggara,” ujarnya lagi.

Lebih menarik, teknik pembuatan alatan batu yang diperlihatkan melalui artifak tersebut menunjukkan penggunaan sumber daya alam secara efektif dan terancang, mencerminkan kewujudan sistem pengetahuan yang kompleks dalam kalangan komuniti manusia purba.

“Dengan Sulawesi kini diiktiraf sebagai lokasi penting dalam jejak awal penghijrahan manusia purba, ia membuka ruang kepada penyelidikan lebih mendalam mengenai pergerakan awal manusia menuju ke timur, termasuk ke Australia,” katanya sambil menyifatkan penemuan ini sebagai titik tolak kepada penulisan semula sejarah migrasi manusia di rantau Asia-Pasifik.

Sumber: CNN Indonesia

SINAR Muzik Retro Terbaik