Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Malaysia Raih 21 Pingat Emas di Sukan SEA Pekak 2025

malaysia raih 21 pingat emas di sukan sea pekak 2025Foto: Sinar Harian

Kontinjen Malaysia terus mencatat sejarah gemilang di temasya Sukan SEA Pekak 2025 yang berlangsung di Jakarta apabila berjaya melangkaui sasaran awal 16 pingat emas.

Advertisement

Pada hari ketiga kejohanan, Malaysia menambah enam lagi pingat emas, sekali gus mengukuhkan kedudukan dengan kutipan keseluruhan 21 emas.

Antara sukan yang menjadi tonggak utama kejayaan luar biasa ini ialah badminton, catur dan boling yang masing-masing menyumbang kilauan emas untuk negara.

Sejarah tercipta di gelanggang badminton apabila pasangan beregu campuran negara, Edmund Teo dan Boon Wei Ying, berjaya menghadiahkan pingat emas ke-16 buat Malaysia. Mereka menewaskan gandingan tuan rumah, Christian Agustinus Abas bersama pasangannya Dzakiyya Amalia Ma'ruf, dalam perlawanan penuh dramatik. Pasangan Malaysia itu menguasai set pertama dengan mudah 21-7, namun terpaksa bekerja keras sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan tipis 26-24.

Bagi Wei Ying, kejayaan ini merupakan saat paling bermakna dalam perjalanan kariernya.

“Ini detik paling manis dalam karier kami. Emas ini bukan sahaja menepati sasaran kontinjen, malah membuktikan atlet Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa. Kemenangan ini kami dedikasikan kepada semua penyokong yang sentiasa percaya pada kami,” katanya dengan penuh emosi.

Semangat kemenangan itu diteruskan menerusi gandingan beregu wanita, Boon Wei Ying bersama Foo Zu Tung, yang menundukkan pasangan Indonesia, Ghaniya Fadhlilatun Nisa dan Dzakiyya Amalia Ma'ruf, dengan keputusan straight set 21-13, 21-7. Kemenangan itu melengkapkan emas ke-17 buat kontinjen negara.

Sementara itu, arena catur turut menyaksikan kejayaan membanggakan apabila pasangan beregu pantas campuran, Loo Pin Xie dan Ainur Ashikin Jupineh, berjaya menampilkan keserasian mantap untuk menjuarai acara tersebut. Kejayaan mereka menyumbang emas ke-18 buat Malaysia di lokasi pertandingan, Ibis Styles Jakarta Mangga Dua Square.

Skuad boling negara pula memastikan hari yang penuh bermakna dengan tambahan tiga pingat emas. Trio lelaki yang diwakili Mohd Zaidi Awang, Ho Choon Seng dan Mohd Firdaus Mohamad, muncul juara acara berpasukan. Kejayaan turut dilengkapkan oleh trio wanita, Siong Mui Hong, Huwainan Danduan Abdullah dan Siw Sing Hie, yang cemerlang dalam kategori masing-masing. Mohd Firdaus sekali lagi mencuri tumpuan apabila meraih emas dalam acara All Events lelaki selepas merekodkan 3,923 jatuhan pin, menjadikannya salah seorang atlet paling menyerlah dalam kejohanan ini.

Ketua kontinjen Malaysia, B. Sarkunan, menyifatkan pencapaian luar biasa itu sebagai bukti kesungguhan dan semangat juang tinggi atlet negara.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Kita bukan sahaja berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, malah melangkaui 20 pingat emas. Kejayaan ini adalah milik semua atlet, jurulatih, pegawai, rakan strategik serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi,” katanya penuh bangga.

Dengan prestasi cemerlang ini, kontinjen Malaysia bukan sahaja melepasi sasaran, malah membuktikan kemampuan untuk terus menjadi kuasa besar dalam temasya sukan peringkat serantau.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik