
Foto: Agensi
Advertisement
Haluan Malaysia menggerakkan pasukan sukarelawan pertama ke Aceh bagi membantu ribuan penduduk yang terjejas akibat banjir besar yang melanda wilayah itu.
Misi kecemasan ini menumpukan kepada penyaluran bantuan makanan, barangan asas serta sokongan awal kepada mangsa.
Pasukan tersebut diketuai Naib Presiden Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan Haluan Malaysia, Dr. Baharudin Suri, yang berkata penghantaran awal ini berfungsi sebagai misi peninjauan untuk menilai keadaan sebenar di lapangan.
“Kami datang untuk melihat sendiri keperluan mendesak mangsa banjir. Bantuan awal sudah dibawa, dan misi susulan akan digerakkan sebaik laporan penilaian lengkap diperoleh,” menurutnya.
Sukarelawan yang berlepas dari Pulau Pinang membawa bekalan makanan, kit kecemasan dan ubat-ubatan bernilai kira-kira RM10,000 bagi membantu komuniti yang kehilangan tempat tinggal serta keperluan asas.
Laporan awal dari Aceh menggambarkan keadaan yang amat mencabar, kediaman musnah, kawasan kampung dipenuhi lumpur, manakala penduduk memerlukan sokongan segera.
“Lebih teruk daripada yang dibayangkan kerana banyak struktur runtuh dan akses jalan terputus,” ujar seorang sukarelawan yang berada di beberapa lokasi.
Sebagai persiapan jangka panjang, Haluan Malaysia merancang menghantar antara 40 hingga 50 sukarelawan secara berfasa bagi melaksanakan misi penuh, termasuk pengagihan bantuan, pemulihan komuniti dan kerja-kerja sokongan pasca bencana.
Organisasi itu sebelum ini pernah aktif membantu Aceh ketika tragedi tsunami 2004, dan kini kembali dengan misi kemanusiaan baharu demi memastikan mangsa banjir tidak dibiarkan tanpa sokongan.
Sumber: Bernama