Foto sekadar hiasan
Malaysia dijangka menerima sepasang panda gergasi baharu dari China minggu depan, sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman baharu selama 10 tahun yang dimeterai antara kedua-dua negara.
Advertisement
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Huang Tiong Sii, ketibaan haiwan comel itu menandakan kesinambungan hubungan diplomatik dan kerjasama konservasi antara Malaysia dan China yang telah terjalin sejak lebih sedekad lalu.
Perjanjian tersebut ditandatangani pada 16 April lalu ketika lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia. Di bawah perjanjian baharu ini, Malaysia akan menerima panda muda yang akan ditempatkan di Zoo Negara sehingga tahun 2035.
Sebelum ini, Malaysia pernah menjadi rumah kepada dua ekor panda gergasi, Fu Wa (juga dikenali sebagai Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang), yang tiba di negara ini pada 2014. Kehadiran mereka menjadi daya tarikan utama Zoo Negara selama 11 tahun sebelum kedua-duanya dipulangkan ke China pada Mei lalu selepas tamat tempoh pinjaman.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, malah menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam itu.
Ramai pencinta alam sekitar dan peminat panda di Malaysia turut menantikan kemunculan pasangan baharu ini yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke Zoo Negara.
Sumber: New Straits Times