Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Majlis Kesyukuran Perceraian Tular di Indonesia

majlis kesyukuran perceraian tular di indonesiaFoto: TikTok

Fenomena unik di Indonesia menarik perhatian ramai apabila sebuah video yang memaparkan majlis kesyukuran sempena perceraian tular di media sosial, lapor portal hiburan Lambe Turah semalam.

Advertisement

Majlis berkenaan berlangsung di Malang, wilayah Jawa Timur pada Sabtu lalu dan dimuat naik ke platform TikTok, sebelum segera meraih ribuan tontonan dan pelbagai reaksi daripada warganet.

Dalam rakaman tersebut, suasana majlis kelihatan begitu meriah seakan-akan sebuah majlis perkahwinan, lengkap dengan dekorasi, hidangan makanan, malah sistem bunyi khas untuk memeriahkan acara. Tetamu yang hadir dilihat menikmati juadah yang disediakan tuan rumah, walaupun ia bukanlah kenduri kahwin seperti kebiasaan.

Seorang tetamu dalam video itu berkata, “Saya menghadiri majlis kesyukuran sempena perceraian. Lihatlah majlis ini begitu meriah sehinggakan mempunyai sistem bunyi. Bezanya, tiada kutipan wang hantaran atau sumbangan seperti kenduri kahwin. Tuan rumah hanya memberi makan secara percuma kepada tetamu yang hadir.”

Konsep meraikan perpisahan ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial. Sebahagian netizen melihatnya sebagai cara baharu masyarakat meraikan kebebasan selepas hubungan rumah tangga berakhir, malah ada yang menyifatkannya sebagai bentuk penghargaan terhadap keberanian memulakan hidup baharu.

Namun begitu, tidak kurang juga yang menganggap majlis seumpama itu sebagai keterlaluan dan tidak sesuai dengan budaya setempat. Bagi mereka, perceraian sepatutnya dihadapi dengan penuh kesederhanaan dan tidak wajar diraikan seolah-olah satu pesta.

Fenomena ‘kenduri cerai’ ini juga mencerminkan perubahan sikap sebahagian masyarakat dalam melihat isu perkahwinan dan perceraian. Jika sebelum ini perceraian sering dianggap sesuatu yang perlu dirahsiakan kerana stigma, kini ia semakin terbuka malah diraikan secara terbuka.

Trend sebegini sebenarnya bukan kali pertama berlaku di Indonesia. Sebelum ini, tular juga beberapa kes pasangan yang mengadakan jamuan kecil-kecilan atau majlis doa selamat selepas bercerai sebagai simbolik kesyukuran. Bagaimanapun, penganjuran secara besar-besaran dengan dekorasi dan sistem bunyi seperti yang berlaku di Malang, dianggap luar biasa dan jarang berlaku.

Perdebatan tentang ‘kenduri perceraian’ itu masih berterusan di media sosial dengan ada yang menganggapnya sebagai simbol kebebasan baharu, manakala sebahagian lain menyifatkan ia tidak sensitif dan hanya menambah luka kepada pihak yang terlibat.

Sumber: Kosmo

SINAR Muzik Retro Terbaik