Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Lirik Lagu Dangdut Cetus Kontroversi, M. Nasir Anggap Semua Bergantung Selera - “Kalau Anda Rasa Itu Standard Anda, Saya Tak Tahulah…”

lirik lagu dangdut cetus kontroversi, m. nasir anggap semua bergantung selera - “kalau anda rasa itu standard anda, saya tak tahulah…”

Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir berpandangan bahawa muzik dangdut tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai hiburan kosong, sebaliknya turut mempunyai elemen lain termasuk mesej keagamaan dan budaya.

Advertisement

Menurut beliau, perbahasan mengenai kesesuaian lirik yang dianggap berunsur lucah sebenarnya bergantung kepada penerimaan pendengar itu sendiri.

“Bercakap soal wajar atau tidak sesebuah lagu menggunakan lirik seakan-akan ‘lucah’, ianya berbalik kepada selera pendengar. Sekiranya anda merasakan lagu tersebut bukan standard anda, maka ianya tidak wajar. Kalau anda rasa, itu adalah standard anda, saya tak tahulah,” katanya.

Mengulas lanjut, M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed Sam berkata penggunaan lirik sedemikian bukan perkara baharu dalam genre dangdut, namun secara peribadi beliau berpendapat ia tidak diperlukan.

“Genre dangdut sebelum pun ada penggunaan lirik-lirik sebegini. Namun bagi saya, tak perlu. Namun sekiranya lagu tersebut hits dan popular, ini yang menjadi masalah,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai kecaman hebat yang diterima penulis lirik lagu berkenaan daripada netizen, M. Nasir memberi reaksi santai.

“Nasib dia lah. Perkara ini pada awalnya memang dah tahu akan menerima tempias dari netizen. Kalau tak suka, jangan dengar. Kalau suka, dengarlah,” katanya lagi.

Tambah beliau, isu sebegini tidak memberi kesan negatif besar terhadap industri muzik tempatan kerana masyarakat Malaysia mempunyai tahap kesedaran yang baik.

“Bagi saya perkara begini tidak merosakkan industri. Bagusnya Malaysia ni, orang-orang kita cerdik dengan apa-apa kandungan yang tak sepatutnya ada. Sentiasa ada pengkritiknya. Pandai-pandai kitalah,” jelasnya.

Ditanya sama ada beliau sendiri akan menerima tawaran untuk menyanyikan lagu yang mengandungi lirik kurang sesuai, M. Nasir hanya memberikan reaksi bersahaja.

“Saya ketawakan saja. Pada dasar pun, pada awalnya tujuannya memang untuk ke arah itu, jadi nak buat macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Inteam Nur Kasih.

Sekadar info, baru-baru ini lagu Masuk Lagi nyanyian Baby Shima mencetuskan kontroversi apabila didakwa mengandungi unsur lucah, sekali gus mengundang pelbagai reaksi hangat daripada netizen dan peminat seni tempatan.

SINAR Muzik Retro Terbaik