Skip to main content

Advertisement

Hiburan

"Tuhan Beri Nyawa, Tapi Ambil Segala Bahagia” - Luahan Mangsa Tunggal Terselamat Nahas Air India

tuhan beri nyawa, tapi ambil segala bahagia” - luahan mangsa tunggal terselamat nahas air india

Dalam sekelip mata, hidup Vishwash Kumar Ramesh berubah selama-lamanya. Lelaki berusia 39 tahun itu bukan sahaja menyaksikan maut di depan mata, tetapi juga menjadi satu-satunya nyawa yang terselamat daripada nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa pada Jun lalu.

Advertisement

Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu terhempas hanya beberapa saat selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, India lalu menghentam sebuah asrama dan meletup dahsyat. Di tengah lautan api dan logam berkecai, Ramesh ditemui berlumuran darah, namun masih hidup, duduk di kerusi 11A bahagian kecil pesawat yang ajaibnya tidak meletup sewaktu impak.

Namun, bagi Ramesh, kehidupan selepas tragedi itu tidak pernah sama. Dalam wawancara bersama The Telegraph United Kingdom, beliau mengakui masih dihantui mimpi ngeri dan kesakitan fizikal setiap hari.

tuhan beri nyawa, tapi ambil segala bahagia” - luahan mangsa tunggal terselamat nahas air india

“Tuhan memberi saya nyawa, tetapi mengambil segala kebahagiaan saya… keluarga saya musnah sepenuhnya,” katanya perlahan.

Abangnya turut terkorban dalam nahas itu. Kini, Ramesh hidup dengan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), kesakitan berterusan di kaki, bahu dan belakang badan serta luka yang paling dalam, luka di hati.

“Saya kehilangan abang saya. Kami sangat rapat. Kini saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Ibu bapa dan adik saya juga runtuh dari segi mental,” ujarnya sebak.

Ramesh banyak menghabiskan masa bersendirian, cuba melupakan jeritan dan api yang masih menghantui fikirannya.

“Setiap hari saya berjuang untuk terus kuat,” katanya.

Lebih memilukan, Ramesh mendakwa pihak Air India hanya memberikan bayaran interim yang sama seperti keluarga mangsa yang meninggal dunia tanpa sebarang pampasan khas untuk dirinya yang terselamat dengan trauma seumur hidup.

Penasihatnya, Radd Seiger, menuduh syarikat penerbangan itu “bersembunyi di sebalik peguam” dan gagal menunjukkan empati yang sepatutnya. Sementara itu, siasatan awal mendedahkan suis bahan api pesawat mungkin dialihkan ke mod “cut off”, menyebabkan enjin terhenti di udara namun punca sebenar masih disiasat.

Ramesh kini menjadi simbol ketabahan dan kehilangan, satu-satunya saksi kepada detik hitam yang mengorbankan 260 jiwa. Dalam kesunyiannya, dia tidak mencari simpati tetapi hanya keadilan dan sedikit ketenangan daripada mimpi yang tidak pernah berakhir.

“Saya masih hidup… tapi sebahagian daripada saya mati di sana bersama mereka.”

Sumber: The Telegraph UK

SINAR Muzik Retro Terbaik