
Advertisement
Seorang bekas pekerja ladang sawit terpaksa kehilangan mata pencarian selepas tidak lagi mampu bekerja akibat menghidap kanser kelenjar jantung sejak dua tahun lalu.
Mohd Lutfi Abdul Halim, 33, yang berasal dari Kampung Dadong, Air Putih, berkata dia kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kemaman sejak seminggu yang lalu.
Beliau berkata, sebelum ini dia telah menerima rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lalu kembali ke Kemaman untuk meneruskan rawatan di sana.
"Menurut apa yang diberitahu oleh doktor, harapan untuk saya terus hidup semakin tipis. Saya hanya berserah kepada Allah SWT, namun dalam masa yang sama, saya tetap berusaha dengan segala cara yang saya mampu untuk melawan penyakit ini," katanya ketika ditemui oleh Sinar Harian pada Rabu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia kini hanya bergantung pada isterinya, Siti Mariani Mohd Zainal Abidin, 34, yang bekerja sebagai tukang cuci pejabat dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan.
Tambahnya, kini terdesak mencari sumber pendapatan kerana isterinya terpaksa memikul beban tanggungjawab tersebut seorang diri.
Sumber: Sinar Harian