Foto: Instagram
Penyanyi dan anggota kumpulan Elite, Linda Rafar memaklumkan hasratnya untuk menarik diri daripada sebarang aktiviti melibatkan kumpulan tersebut.
Advertisement
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Linda menerusi satu hantaran di platform Threads, di mana beliau menzahirkan perasaan sedih atas keputusan yang diambil.
“Hanya kepada Allah SWT saya berserah. Maafkan saya kerana tidak lagi dapat bersama Elite. Terlalu sedih hingga sukar untuk saya menulis, semoga Allah memberi saya kekuatan dalam apa jua keadaan,” tulisnya.
Bagaimanapun, Linda tidak memperincikan sebab di sebalik keputusan untuk tidak lagi bersama kumpulan yang telah menaikkan namanya itu.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut berkongsi tangkap layar perbualannya bersama dua lagi anggota Elite, Azza dan Abby Abadi, menunjukkan hubungan mereka masih terjalin dengan baik meskipun keputusan tersebut diambil.
Keputusan Linda dibuat kira-kira sebulan selepas kemunculan semula Elite menerusi konsert Elite Live 25 yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 23 Jun lalu.
Sementara itu, ruang komen hantaran tersebut turut dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada para peminat yang menyokong keputusan peribadi penyanyi berkenaan serta mendoakan agar beliau terus tabah menghadapi ujian.
Sumber: Threads