Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Berhenti Lakukan Provokasi…” Linda Hashim Dakwa Dikurung dan Dikasari, Beri Amaran kepada Beego

“berhenti lakukan provokasi…” linda hashim dakwa dikurung dan dikasari, beri amaran kepada beegoFoto: Gempak

Kisah rumah tangga pasangan selebriti Linda Hashim dan Beego terus menjadi perhatian apabila pelakon berusia 41 tahun itu tampil membuat pendedahan mengejutkan berhubung punca sebenar beliau tidak pulang ke rumah sejak sembilan bulan lalu.

Advertisement

Linda atau nama penuhnya Norhazlinda Hashim menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat demi keselamatan dirinya serta anak-anak. Menurutnya, mereka pernah berdepan insiden keganasan rumah tangga yang meninggalkan kesan trauma, sekali gus membuatkan beliau memilih untuk menjauhkan diri daripada suami yang juga pelakon, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Beego, 45 tahun.

“Sudah lama saya berdiam diri, tetapi hari ini saya terpaksa berterus terang. Ada empat sebab utama kenapa saya tidak balik ke rumah selama sembilan bulan. Pertama, saya dipukul sejak tahun 2016. Kedua, anak-anak saya sendiri enggan pulang kerana mereka trauma.

“Ketiga, kunci rumah ada padanya, dan keempat apabila saya cuba balik, dia akan mangga pintu rumah dari luar. Saya ada saksi yang pernah membantu saya memotong mangga tersebut. Selama ini saya simpan, tetapi sekarang saya rasa perlu dedahkan perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.

Linda turut mengesahkan bahawa beliau memiliki laporan polis, laporan perubatan, serta surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego daripada menghampiri dirinya. Walau bagaimanapun, atas dasar perikemanusiaan, Linda tetap memberi ruang kepada Beego untuk bertemu dengan anak-anak mereka.

“Saya ada semua dokumen termasuk laporan polis dan perubatan. Namun, sebagai bapa, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak. Tapi saya beri amaran kepadanya supaya berhenti melakukan provokasi terhadap saya dan anak-anak,” tegasnya.

Menurut Linda lagi, beliau memiliki pelbagai bukti dalam bentuk rakaman dan dokumen di dalam telefon yang boleh dikemukakan di mahkamah sekiranya keadaan memerlukan. Katanya, tindakan Beego yang memuat naik hantaran berbaur provokasi di media sosial membuatkan dirinya terpanggil untuk bersuara.

“Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah, jangan manipulasi. Jangan mereka-reka cerita. Baru saya muat naik gambar mengenai anak-anak, dia sudah tuduh saya provoke. Kalau saya dedahkan semua bukti yang ada dalam telefon, orang ramai akan tahu perkara sebenar. Ini amaran saya,” ujarnya dengan nada tegas.

Linda turut menegaskan bahawa sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, beliau langsung tidak pernah mengganggu urusan kehidupan Beego, sama ada kerjaya atau aktiviti lain. Namun, beliau mendakwa suaminya itu pula yang sering mengganggu ketenangan hidup mereka sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental dirinya dan anak-anak.

“Kalau dia nak bekerja, buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah ganggu. Tapi dia pula yang kacau hidup saya sampai menjejaskan mental kami. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?” katanya lagi.

Dalam prosiding semalam, Mahkamah Rendah Syariah merekodkan laporan jawatankuasa pendamai (JKP) namun gagal menemui penyelesaian apabila Beego tidak hadir dengan alasan tidak sihat. Susulan itu, hakim mengarahkan Linda memfailkan pengesahan taklik selepas mendapati terdapat elemen yang relevan dalam laporan tersebut.

Kes berkenaan ditetapkan untuk disambung semula pada 22 Oktober depan.

Sumber: Gempak

SINAR Muzik Retro Terbaik