Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Lima Remaja Didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Atas Pertuduhan ‘Mencela’ Zara Qairina

lima remaja didakwa di mahkamah kanak-kanak atas pertuduhan ‘mencela’ zara qairinaFoto: Facebook

Lima remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar sekolah menengah, Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia pada Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran sekolahnya.

Advertisement

Pertuduhan terhadap kelima-lima tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima remaja tersebut, dengan niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa sehingga didengar oleh Zara Qairina yang berkemungkinan menimbulkan tekanan emosi terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan WDT 15, Papar antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 15 Julai lalu.

Kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, dalam prosiding tertutup, seperti dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu dan membuat keputusan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang diperoleh.

Walau bagaimanapun, AGC turut menegaskan bahawa prosiding inkues tetap perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina. Mahkamah Koroner telah menetapkan tarikh 3 September depan sebagai permulaan prosiding inkues.

Keputusan untuk menjalankan inkues itu dibuat selepas AGC meneliti laporan lengkap siasatan pihak berkuasa dan mendapati ia wajar demi memastikan punca serta sebab kematian dapat ditentukan dengan tepat.

Untuk rekod, Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai.

Sumber: Bernama

SINAR Muzik Retro Terbaik