![[video] gunung semeru meletus ganas, pekat gelita menyelubungi jawa timur](https://assets.astroaudio.com.my/brands_syok/media/Article/2025/Nov/20/landscape-2025-11-20t102953-720.png)
Indonesia sekali lagi dikejutkan dengan amukan alam apabila Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Jawa Timur, meletus kuat pada 19 November 2025. Letusan besar yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan langit bertukar gelap, abu beterbangan setinggi ribuan meter.
Advertisement
The massive eruption of Mount Semeru in East Java, Indonesia 🇮🇩 (19.11.2025) pic.twitter.com/f2xOZskFX8
— Disaster News (@Top_Disaster) November 19, 2025
Saksi di sekitar Lumajang melaporkan bunyi dentuman kuat sebelum awan panas guguran menggelongsor laju dari puncak Semeru. Debu dan asap pekat menutupi penglihatan, memaksa penduduk kampung melarikan diri dalam keadaan cemas.
Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan awan panas bergulung-gulung turun ke lereng, jalan raya dipenuhi kenderaan yang berpusu-pusu keluar, kanak-kanak dikejarkan ke pusat perlindungan dan abu gunung berapi menutupi bumbung dan tanaman.
Letusan kali ini dikatakan antara yang paling kuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Badan Meteorologi Indonesia mengesahkan sistem angin membawa abu Semeru hingga memasuki kawasan seperti Malang dan Probolinggo. Ramai penduduk mengadu sesak nafas, mata pedih dan permukaan rumah dipenuhi debu tebal.
Penerbangan di beberapa lapangan terbang berhampiran turut diberi amaran kemungkinan terganggu kerana risiko abu vulkanik yang boleh merosakkan enjin pesawat.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) meningkatkan status aktiviti Semeru dan menasihatkan semua pihak menjauhi zon bahaya sejauh beberapa kilometer dari kawah.
Penduduk turut diarahkan untuk segera berpindah ke lokasi selamat, memakai pelitup yang mampu mengelakkan penyakit pernafasan dan jauhi sungai yang berpotensi dilanda lahar sejuk.
![[video] gunung semeru meletus ganas, pekat gelita menyelubungi jawa timur](https://assets.astroaudio.com.my/brands_syok/media/Article/2025/Nov/20/portrait-2025-11-20t103953-062.png)
Gunung Semeru dikenali sebagai ‘Mahameru’ atau Gunung Agung dan merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia. Aktiviti letusannya sering berubah-ubah dan setiap letusan membawa risiko besar kepada penduduk berhampiran.
Namun letusan yang berlaku pada 19.11.2025 ini sekali lagi membuktikan bahawa Semeru adalah gunung yang tidak pernah benar-benar tidur.
Sumber: X (WorldDisaster)