
Foto Hiasan
Advertisement
Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila teman lelakinya bertindak keluar secara tiba-tiba daripada kereta yang sedang dipandu, sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas lebih 20 jam menerima rawatan di hospital.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang Isnin di Jalan Seremban–Nilai berhampiran Taman Kirby, Batu 9, Labu. Mangsa yang berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki selepas terjatuh di atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan daripada wanita tempatan berusia 20-an pada jam 11.37 pagi Selasa.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, mangsa berada di dalam kenderaan yang dipandu pengadu ketika kejadian. Dalam perjalanan, dipercayai berlaku perbincangan antara mereka sebelum lelaki itu secara mengejut membuka pintu dan keluar dari kenderaan yang masih bergerak.
“Akibat tindakan tersebut, mangsa tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan mengalami kecederaan serius. Dia kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, selepas bertarung nyawa lebih 20 jam, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.35 tengah hari Selasa oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
Johari memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
Sumber: Astro Awani