
Foto: PDRM
Advertisement
Suasana meriah sambutan Tahun Baharu Cina bertukar menjadi detik hitam apabila seorang lelaki berusia 30-an kudung kaki kiri selepas bunga api yang dipasangnya meletup di hadapan rumahnya di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, awal pagi semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa dipercayai sedang bermain bunga api jenis ‘shoot cake 16 shot (premium)’ bagi memeriahkan sambutan perayaan.
Namun siapa sangka, bunga api yang sepatutnya memancarkan cahaya warna-warni ke langit tiba-tiba bertukar menjadi letupan yang membawa padah.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, hasil siasatan awal mendapati mangsa bermain bunga api berkenaan di hadapan rumahnya sebelum berlaku letupan kuat.
Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan parah sehingga kudung kaki kiri dan segera dikejarkan ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Mangsa kini berada di zon merah dan sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan,” katanya.
Pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan mangsa kehilangan kaki kiri daripada bawah lutut. Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa bunga api bukan sekadar alat hiburan, tetapi bahan letupan yang boleh mengundang risiko serius jika tidak dikendalikan dengan betul.
Dalam kemeriahan sambutan perayaan, aspek keselamatan tidak seharusnya dipandang ringan. Kadang-kadang, satu saat kecuaian boleh mengubah hidup selama-lamanya.