Foto: Sinar Harian
Seorang lelaki di Tirupati, Andhra Pradesh bertindak di luar jangkaan apabila menggigit kepala seekor ular tedung hitam hingga putus selepas dipatuk reptilia berbisa itu.
Advertisement
Kejadian berlaku pada malam Khamis di Kampung Chiyyavaram, Thottambedu Mandal. Mangsa, dikenali sebagai Venkatesh, dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika berjalan pulang sebelum diserang ular berkenaan.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat alkohol, dia bertindak menangkap ular tersebut lalu menggigit kepalanya sehingga mati. Lebih mengejutkan, Venkatesh kemudian membawa pulang bangkai ular itu dan tidur bersebelahannya.
Namun, sekitar tengah malam, keadaan kesihatannya semakin merosot apabila bisa ular merebak ke seluruh tubuh. Ahli keluarga yang panik segera membawanya ke Hospital Kawasan Srikalahasti bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Disebabkan situasinya semakin parah, Venkatesh dipindahkan ke Hospital Ruia di Tirupati pada pagi Jumaat untuk rawatan lanjut dan kini ditempatkan di bawah pengawasan doktor.
Penduduk kampung menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang mengejutkan dan menyeramkan, manakala pihak berkuasa tempatan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan haiwan berbisa.
Sumber: Sinar Harian