Foto: Tangkapan skrin layar X
Seorang lelaki di Shenyang, wilayah Liaoning, China menerima kecaman hebat daripada netizen selepas tindakannya menjadikan bonet kereta sebagai akuarium mini tular di media sosial.
Advertisement
Lelaki tersebut dilaporkan meletakkan air, ikan dan ketam hidup di dalam balutan plastik lut sinar pada bonet sebuah SUV jenama Li Auto L9, kononnya kerana terlupa membawa bekas penyimpanan selepas memancing.
Rakaman video yang dimuat naik di aplikasi Douyin itu menunjukkan bonet kenderaan tersebut dipenuhi air dan kelihatan seperti ‘gelembung’ lutsinar yang bergerak, lengkap dengan ikan yang berenang di dalamnya. Kejadian itu mencetuskan kekhuatiran ramai apabila sebahagian haiwan dilihat bergelut untuk bernafas dalam ruang sempit yang tidak sesuai dijadikan tempat penyimpanan hidupan akuatik.
Trend bermula di China dan kini merebak ke tempat lain....badan kereta diubah menjadi aquarium......
— MYNEWSHUB (@mynewshub) July 27, 2025
Ini bukan satu bentuk penderaan haiwan ke? pic.twitter.com/tR6JKDLYEy
Insiden itu turut mendapat perhatian pihak polis trafik tempatan yang menegaskan bahawa pengubahsuaian berkenaan melanggar undang-undang berkaitan keselamatan kenderaan. Pihak berkuasa memberi amaran bahawa kenderaan yang diubah suai sedemikian rupa dianggap tidak selamat untuk dipandu di jalan awam dan boleh membahayakan pemandu serta pengguna jalan raya lain.
Walaupun belum disahkan sama ada tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik kenderaan itu, pihak polis dilaporkan telah mengeluarkan amaran tegas kepada individu terbabit.
Sementara itu, pengguna media sosial menyuarakan kemarahan terhadap perlakuan lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan. Tindakan menjadikan bonet kenderaan sebagai akuarium sementara turut dianggap mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap kesejahteraan haiwan serta keselamatan awam.
Insiden tersebut mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai bahaya pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan serta perlunya peraturan lebih tegas dalam memastikan haiwan tidak digunakan secara sewenang-wenangnya untuk tujuan hiburan atau eksperimentasi peribadi.
Sumber: X