Foto: Astro AWANI
Atlet para negara, Datuk Abdul Latif Romly, sekali lagi melakar sejarah apabila memecahkan rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 yang berlangsung di New Delhi, India.
Advertisement
Latif mencatat lompatan sejauh 7.67 meter pada percubaan ketiga, sekali gus mengatasi rekod dunia miliknya sendiri iaitu 7.64 meter yang direkodkan ketika Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018.
Lebih manis, beliau terlebih dahulu memecahkan rekod kejohanan dengan jarak 7.61 meter pada lompatan pertama sebelum memperbaharui catatan tersebut hanya beberapa percubaan kemudian.
Dalam saingan itu, pingat perak diraih oleh atlet Arab Saudi, Hassan Dawshi, dengan lompatan sejauh 7.36 meter. Manakala pingat gangsa menjadi milik Matvei Iakushev, atlet berstatus Paralimpik Neutral (NPA), dengan catatan 7.22 meter.
Selepas kejayaan tersebut, Latif melahirkan rasa syukur dan puas hati kerana mampu memperbaharui dua rekod sekaligus dalam satu kejohanan. Beliau turut mendedikasikan kemenangan ini buat isteri dan anaknya yang bakal lahir, sambil menegaskan akan terus berusaha menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi berlangsung dari 27 September hingga 5 Oktober dengan penyertaan lebih 2,200 atlet daripada seluruh dunia yang bertanding dalam 184 acara.
Rekod dunia T20 lompat jauh sebelum ini memang dipegang Latif sendiri dengan jarak 7.64 meter, dan kini beliau menokok pencapaian tersebut kepada 7.67 meter.
Sumber: Astro AWANI