Foto: Facebook
Pulau legenda Langkawi sekali lagi membuktikan pesonanya apabila diiktiraf sebagai pulau kedua terbaik dunia oleh portal pelancongan berprestij, Conde Nast Traveler, menerusi senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025. Dengan markah cemerlang 92.99, Langkawi berjaya mengatasi destinasi terkenal lain seperti Bali, Indonesia dan Phuket, Thailand.
Advertisement
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa daya tarikan Langkawi masih kukuh di mata pelancong antarabangsa, sekaligus mengangkat semula nama Kedah di peta pelancongan dunia.
Namun di sebalik kejayaan itu, masih wujud segelintir perbandingan di media sosial antara Langkawi dan Hatyai, seolah-olah kedua-duanya menawarkan pengalaman pelancongan yang sama. Hakikatnya, Langkawi adalah sebuah pulau yang menampilkan keindahan alam semula jadi, pantai yang memukau serta suasana tenang untuk berehat, manakala Hatyai pula merupakan bandar daratan yang terkenal dengan pusat membeli-belah dan hiburan.
Perbandingan itu ibarat menyamakan laut dengan jalan raya. Masing-masing mempunyai keunikan tersendiri dan tidak wajar dibandingkan dari sudut yang sama.
Walaupun ada yang berpendapat Langkawi kini terlalu mahal, hakikatnya masih banyak pilihan mampu milik tersedia buat pelancong. Penginapan bajet, kedai makan dengan harga berpatutan dan pakej pelancongan yang mesra poket masih mudah ditemui jika pandai mencari.
Jangan kerana segelintir tempat menawarkan harga tinggi, keseluruhan Langkawi dilabelkan sebagai destinasi mahal. Sebaliknya, pengiktirafan global ini harus dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh sektor pelancongan negeri Kedah bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Kerajaan negeri dan pengusaha tempatan wajar memanfaatkan momentum ini bagi menarik lebih ramai pelancong bukan hanya ke Langkawi, tetapi juga ke destinasi lain di Kedah seperti Lembah Bujang yang kaya sejarah serta Gunung Jerai yang terkenal dengan panorama indahnya.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) disaran mempergiat promosi digital, menambah baik sistem pengangkutan serta memperluas laluan penerbangan antarabangsa. Dalam masa sama, para peniaga dan pengusaha tempatan perlu mengekalkan imej baik Langkawi dengan menawarkan harga berpatutan, layanan mesra serta menitikberatkan kebersihan destinasi.
Langkawi kini sudah berada di radar dunia. Tugas seterusnya ialah memastikan keindahan, keramahan dan nilai tempatan terus menjadi daya tarikan utama. Jika Hatyai gah sebagai bandar beli-belah, Langkawi pula tetap unggul sebagai pulau legenda, tempat pelancong datang bukan sekadar melancong, tetapi mencari ketenangan dan pengalaman yang tiada tandingan.
Sumber: Sinar Harian