Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Labu Kongsi Pengalaman Sulung Sebagai Pengarah Filem Malam Terlarang - “Saya Bayangkan Setiap Babak Macam Helaian Buku…”

labu kongsi pengalaman sulung sebagai pengarah filem malam terlarang - “saya bayangkan setiap babak macam helaian buku…”Pengarah baharu, Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu, menyifatkan penglibatannya sebagai sutradara filem Malam Terlarang sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan seninya selepas sekian lama bergiat sebagai Pengarah Fotografi (DP).

Filem seram thriller terbitan Astro Shaw itu merupakan debut pertamanya sebagai pengarah filem cereka, dan menurut Labu, perasaan utamanya selepas tayangan perdana ialah rasa syukur serta lega apabila karya sulungnya mendapat sambutan positif daripada penonton.

Advertisement

“Saya rasa gembira sebab nampak orang suka dengan apa yang saya hasilkan. Dalam zaman sekarang, macam-macam komen dan pandangan akan muncul, tapi saya harap apa yang saya bawa dapat mengalir secara semula jadi dan diterima,” katanya.

Labu menjelaskan, asalnya naskhah Malam Terlarang dijadualkan diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, namun selepas perubahan jadual produksi, Astro Shaw dan Infinitus Gold sepakat memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan projek tersebut selepas kejayaannya mengarah drama X-Change dan Scammer.

“Sebenarnya, dari segi pemilihan pelakon, sebahagian besar sudah ditetapkan lebih awal. Pelakon seperti Sabri Yunus dan Sofia Jane memang sudah ‘dilock’ lama sebab mereka sesuai dengan naskhah ini. Bila saya masuk, saya teruskan dengan pasukan pelakon yang memang sudah bersedia,” ujarnya.

Sebagai pengarah yang juga berpengalaman luas dalam sinematografi, Labu mengakui peralihan daripada DP kepada pengarah memberi ruang kepadanya untuk menzahirkan visi peribadi terhadap visual dan penceritaan.

“Kalau masa jadi DP, kita kena ikut visi pengarah. Tapi bila saya jadi pengarah, saya boleh bawa visi saya sendiri. Saya bayangkan setiap babak macam helaian buku – setiap satu ada pembukaan dan penutup yang jelas. Saya tak mahu cerita terasa tergantung,” jelasnya.

Berkenaan proses penggambaran, Labu berkata produksi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang kelewatan besar walaupun berdepan cabaran cuaca dan lokasi yang sukar.

“Penggambaran di paya bakau sekitar Banting memang mencabar. Lokasi bukan di tepi jalan, kami kena masuk kira-kira 300 meter ke dalam. Kadang-kadang kena tunggu air surut baru boleh bergerak ke set. Pernah juga kena kejar masa sebab air pasang atau menunggu hingga awal pagi untuk teruskan penggambaran,” katanya.

Bagi Labu, segala cabaran itu memberi kepuasan tersendiri kerana dapat melaksanakan setiap keputusan produksi mengikut kehendak dan visinya sebagai pengarah dan juga DP.

“Sebagai pengarah, saya bukan sekadar mengarah cerita tetapi juga mencipta visual. Jadi ada kesinambungan antara penceritaan dan sinematografi. Itu yang saya rasa menarik dan menjadikan Malam Terlarang berbeza,” ujarnya.

Labu turut berharap agar penonton memberikan sokongan kepada filem pertamanya ini dan merasai sendiri pengalaman sinematik yang cuba disampaikannya.

“Saya harap penonton boleh menikmati sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan. Filem ini bukan sekadar seram, tapi juga membawa jiwa dan visual yang seiring,” katanya menutup bicara.

SINAR Muzik Retro Terbaik