Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Kurikulum Sekolah Bakal Berubah, KPM Laksana Secara Berperingkat Mulai 2027

kurikulum sekolah bakal berubah, kpm laksana secara berperingkat mulai 2027Foto: Bernama

Sistem pendidikan negara bakal melalui satu lagi perubahan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) merancang memperkenalkan kurikulum persekolahan yang dikemas kini secara berperingkat mulai 2027.

Advertisement

Langkah ini diambil bagi memastikan kandungan pembelajaran sentiasa selari dengan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan pelaksanaan awal akan melibatkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027, sebelum diperluaskan kepada Tahun Dua dan Tingkatan Dua pada tahun berikutnya.

Menurut beliau, setiap kurikulum mempunyai jangka hayat tertentu sebelum dinilai semula untuk penambahbaikan.

“Sesuatu kurikulum itu akan digunakan untuk suatu tempoh masa dan apabila sampai pada tempohnya, maka kita akan memperkenalkan kurikulum bagi persekolahan baharu.

“Semakan kurikulum akan diadakan jika ada keperluan. Maka untuk subjek atau mata pelajaran tertentu, semakan dari segi kurikulum boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya ketika sesi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai pendekatan kementerian dalam menyemak kurikulum serta tempoh penggunaan buku teks di sekolah.

Dalam perkembangan sama, Wong turut menjelaskan bahawa unsur pendidikan kenegaraan dan kesedaran politik telah diserapkan dalam subjek Sejarah serta Pendidikan Sivik. Usaha ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang asas demokrasi dan sistem pemerintahan negara.

Tambahnya, pengukuhan literasi politik juga dijalankan melalui kerjasama bersama Akademi Pilihan Raya (APR), sekali gus membolehkan pelajar memahami proses pengundian dan tanggungjawab sebagai warganegara menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal.

Mulai tahun ini juga, KPM melaksanakan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang memberi tumpuan kepada empat aspek utama, termasuk pemupukan semangat patriotisme serta pembinaan jati diri positif dalam kalangan murid.

Terdahulu, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta penjelasan mengenai dasar serta langkah kerajaan dalam menyediakan pendidikan kenegaraan dan politik di peringkat sekolah menengah, agar pelajar memperoleh kefahaman jelas tentang sistem politik sebelum terpengaruh dengan sentimen kepartian.

Sumber: Bernama

SINAR Muzik Retro Terbaik