Foto: Instagram
Figura tersohor Indonesia, Kris Dayanti sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan dirinya bakal mewakili negara dalam pertandingan wushu antarabangsa yang berlangsung di Emeishan, China dari 14 hingga 20 Oktober ini.
Advertisement
Dikenali sebagai penyanyi legenda dan kini ahli politik aktif, Kris Dayanti membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus mencabar diri dalam bidang baharu.
Menerusi perkongsian di Instagram, isteri kepada Raul Lemos itu berkongsi foto bersama pasukannya ketika menjalani latihan intensif menjelang pertandingan tersebut.
“Berlatih layaknya bertanding. Hari ini kami melakukan simulasi latihan terakhir sebelum berangkat untuk pertandingan international wushu di Emeishan, China pada 14-20 Oktober nanti. Doakan Indonesia juara, jiayou!” tulisnya di kapsyen.
Perkongsian itu segera mendapat perhatian ramai, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap semangat dan disiplin Kris Dayanti yang masih aktif dalam sukan wushu meskipun sudah berusia lebih 50 tahun.
Difahamkan, penyanyi Menghitung Hari itu telah mempelajari seni mempertahankan diri tersebut sejak beberapa tahun lalu sebagai rutin kecergasan dan hobi, sebelum benar-benar jatuh cinta dengan disiplin dan falsafah yang ada dalam wushu.
Kris Dayanti membuktikan bahawa ketekunan dan semangat tidak pernah mengenal usia, bukan sahaja dalam dunia seni dan politik, tetapi kini juga di arena sukan antarabangsa.
Sumber: Instagram