Foto: Astro AWANI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa Malaysia menjadi pangkalan kepimpinan Hamas seperti didakwa bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer.
Advertisement
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin berasaskan nilai agama dan kemanusiaan, bukannya penglibatan dengan kumpulan terbabit.
“Perjuangan di Palestin sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Kita sering memberikan bantuan berterusan kepada mereka. Mungkin keprihatinan ini disalah tafsir oleh pihak tertentu.
“Namun begitu, kita mempunyai hubungan baik dengan Amerika serta negara lain, dan sentiasa berkongsi maklumat melalui kerjasama keselamatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai rekod kerjasama yang kukuh dengan pelbagai negara dalam aspek keselamatan termasuk perkongsian maklumat risikan. Hubungan baik dengan AS dan rakan antarabangsa lain, katanya, membuktikan tuduhan tersebut tidak berasas.
Tambahnya, kerajaan Malaysia konsisten menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin menerusi saluran sah seperti kewangan, pendidikan dan perubatan, namun itu tidak bermaksud negara ini menjadi pusat operasi mana-mana kumpulan.
Dalam masa sama, Mohd Khalid memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara berada dalam keadaan terkawal hasil kerjasama PDRM bersama agensi utama lain termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Kita akan terus berhubung dan berkongsi maklumat dengan agensi tempatan serta negara jiran bagi memastikan keselamatan sempadan sentiasa terpelihara,” katanya.
Sumber: Astro AWANI