Foto: Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkenalkan mata pelajaran baharu yang dinamakan Alam dan Manusia di sekolah rendah bermula tahun 2027. Subjek ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang dirangka bagi melahirkan pelajar lebih seimbang dari segi pengetahuan, kemahiran dan sahsiah.
Advertisement
Menurut KPM, pengenalan subjek baharu ini akan bermula di Tahap Satu, iaitu murid Tahun 1 dan 2, sebagai ganti kepada beberapa mata pelajaran sedia ada. Kandungannya akan menggabungkan elemen sains, kesihatan, seni, muzik, digital serta asas teknikal dan vokasional.
Ramai yang bertanya mengenai mata pelajaran Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan untuk murid Tahap I dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dan mengapa ia dilaksanakan menggunakan kaedah pengajaran berpasukan.
— KPM (@KemPendidikan) November 6, 2025
Kami jelaskan.
Langkah ini turut menyokong pendekatan pembelajaran bersepadu yang lebih menyeronokkan dan sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Ia juga memberi penekanan terhadap pembentukan karakter, pemikiran kritikal dan kemahiran abad ke-21.
Pelaksanaan KP2027 akan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan prasekolah pada tahun 2026 sebelum diperluas ke Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun berikutnya.
KPM menjelaskan, perubahan kurikulum ini selaras dengan keperluan semasa dunia pendidikan yang semakin dinamik, selain memastikan pelajar mampu menyesuaikan diri dengan cabaran masa depan.
Sumber: X @KemPendidikan