
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa negara berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga susulan laporan penularan Virus Nipah yang berlaku di Bengal Barat, India.
Advertisement
Walaupun tiada kes Virus Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, KKM menegaskan bahawa langkah pencegahan dan pemantauan sedang dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang risiko kemasukan penyakit berjangkit berbahaya itu ke dalam negara.
Virus Nipah (NiV) merupakan penyakit zoonotik berbahaya yang boleh merebak daripada kelawar buah (flying fox) kepada manusia, sama ada secara langsung atau melalui perantaraan haiwan ternakan seperti babi. Jangkitan juga boleh berlaku melalui makanan atau minuman yang tercemar, serta hubungan rapat dengan pesakit yang dijangkiti.
Antara gejala awal jangkitan termasuk:
- Demam
- Sakit kepala
- Muntah dan pening
- Kesukaran bernafas
- Kekeliruan dan gangguan saraf
Dalam kes yang serius, jangkitan boleh menyebabkan radang otak (encephalitis) dan kegagalan pernafasan, dengan kadar kematian dilaporkan antara 40 hingga 75 peratus.


Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM terus memperkukuh saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa, khususnya melibatkan pengembara daripada kawasan berisiko tinggi. Pemantauan kesihatan juga dilaksanakan melalui kerjasama rentas agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Agensi kesihatan negeri dan Persekutuan.
Pendekatan One Health turut diguna pakai, melibatkan aspek kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran secara menyeluruh.
KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengelakkan pengambilan makanan atau minuman yang terdedah dan berisiko tercemar, menghindari kontak dengan haiwan liar atau haiwan yang sakit dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala selepas pulang dari luar negara.
KKM menegaskan bahawa Malaysia kekal bebas Virus Nipah, namun tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap tinggi bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah penularan penyakit berjangkit berbahaya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik, sebaliknya mendapatkan maklumat sahih hanya daripada sumber rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.