
Gambar Hiasan
Advertisement
Walaupun dunia telah melangkah jauh dalam bidang perubatan moden, penyakit batuk kering atau tuberkulosis (Tibi) masih kekal sebagai pembunuh berjangkit utama dunia. Menurut laporan tahunan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini meragut kira-kira 1.23 juta nyawa pada tahun 2024 satu angka yang membuktikan ancaman Tibi masih belum berakhir.
WHO menyifatkan kemajuan dalam memerangi penyakit ini sebagai rapuh, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam jumlah kematian (tiga peratus) dan kes baharu (dua peratus) berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, 10.7 juta orang di seluruh dunia dijangkiti Tibi pada tahun lalu terdiri daripada 5.8 juta lelaki, 3.7 juta wanita dan 1.2 juta kanak-kanak.
Tibi disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru. Ia merebak melalui udara, apabila penghidap Tibi batuk, bersin atau meludah, bakteria halus boleh terbang di udara dan menjangkiti orang lain yang menghirupnya.

Walaupun boleh dicegah dan dirawat, Tibi kekal menjadi ancaman serius kerana ramai pesakit masih tidak mendapat rawatan tepat pada masanya.
Menurut WHO, lima faktor risiko utama yang mempercepatkan penularan Tibi ialah kekurangan nutrisi, jangkitan HIV, diabetes, merokok dan penggunaan alkohol berlebihan.
Lebih membimbangkan, Tibi juga merupakan pembunuh utama dalam kalangan penghidap HIV, dengan 150,000 kematian direkodkan pada 2024.
Lapan negara menyumbang hampir dua pertiga kes Tibi global:
- India (25%)
- Indonesia (10%)
- Filipina (6.8%)
- China (6.5%)
- Pakistan (6.3%)
- Nigeria (4.8%)
- Republik Demokratik Congo (3.9%)
- Bangladesh (3.6%)
Tahun 2024 menyaksikan rekod tertinggi dalam diagnosis dan rawatan sebanyak 8.3 juta pesakit Tibi menerima rawatan, dengan kadar kejayaan meningkat kepada 71 peratus. WHO menganggarkan bahawa sejak tahun 2000, sebanyak 83 juta nyawa telah diselamatkan hasil rawatan yang tepat pada masanya.
Lebih menggembirakan, kini terdapat 63 ujian diagnostik, 29 ubat baharu dan 18 calon vaksin sedang diuji pada manusia, termasuk enam dalam Fasa III iaitu peringkat terakhir sebelum diluluskan.
Sumber: AFP