![[video] kejam! veterinar tinggalkan haiwan dalam sangkar selama 3 bulan hingga mati kebuluran!](https://assets.astroaudio.com.my/brands_syok/media/Article/2025/Dec/18/doublepic-17.png)
Foto: Instagram (shimaaris)
Advertisement
Selangor digemparkan dengan pendedahan mengejutkan mengenai sebuah klinik veterinar yang dikatakan meninggalkan haiwan peliharaan dalam keadaan terabai.
Penyelamat haiwan bebas, Shima Aris, telah mendedahkan rakaman suara WhatsApp daripada veterinar yang disyaki mengabaikan haiwan-haiwan di kliniknya di Damansara Damai.
Menurut DVS Selangor, pihak mereka telah menerima aduan rasmi dan mengesahkan video-video tular di media sosial. Semasa siasatan, pasukan DVS menemui bangkai seekor anjing dan seekor kucing, dipercayai mati 1 hingga 2 minggu lalu. Haiwan dan sangkarnya kini dibawa untuk pemeriksaan lanjut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
Selain daripada perkongsian gambar keadaan di klinik tersebut yang kotor dan menjijikkan, Shima turut mendedahkan beberapa fakta mengejutkan:
- Veterinar itu didakwa mengenakan caj RM100–RM200 sebulan untuk perkhidmatan penjagaan haiwan.
- Lima kucing dikurung dalam satu sangkar pada masa yang sama
- Semua kucing dipercayai mati kebuluran, manakala staf bernama Hafis dikatakan gagal menjaga haiwan.
- Dalam rakaman WhatsApp, veterinar mendakwa terkena ilmu sihir oleh bekas staf dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Hafis.
- Beagle bernama Pumpkin yang diselamatkan juga telah meninggal dunia.
Lebih mengejutkan, haiwan-haiwan di klinik itu dikatakan diberi makan hanya sekali seminggu selama 3 bulan!
Shima menyeru sesiapa yang pernah menghantar haiwan mereka ke klinik itu untuk membuat laporan polis segera.
Kes yang mendapat perhatian DVS Selangor ini membuatkan pihak DVS menegaskan bahawa mereka akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus. Semua pihak yang mempunyai maklumat digalakkan untuk datang ke pejabat DVS Selangor bagi tujuan membantu siasatan.
Insiden ini bukan sahaja mengundang kemarahan netizen, malah menimbulkan persoalan berkaitan etika penjagaan haiwan di negara kita. Semoga keadilan dapat ditegakkan bagi haiwan-haiwan malang ini.
Sumber: Instagram (shimaaris)