Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Philippe Petit: Si Pendekar Tali Tinggi yang Melawan Graviti dan Menari di Antara Awan

philippe petit: si pendekar tali tinggi yang melawan graviti dan menari di antara awan

Foto: The Straits Times

Advertisement

Hari ini, 7 Ogos 2025, genap 51 tahun sejak Philippe Petit menakluk langit Manhattan dalam satu aksi paling luar biasa yang pernah disaksikan dunia, iaitu berjalan di atas seutas tali merentas dua Menara Berkembar World Trade Center (WTC), setinggi 415.1 meter dari tanah!

Kisah ini bukan sekadar aksi berani, tetapi satu bukti bahawa impian boleh menjadi realiti dengan tekad dan usaha luar biasa.

Segalanya bermula di Paris pada awal 1970-an. Philippe Petit, seorang penghibur jalanan yang suka bermain silap mata dan meniti tali, terbaca sebuah artikel tentang pembinaan WTC. Saat itulah, impian gila itu tercetus. Dia berimpian untuk meniti tali merentasi bangunan tertinggi di dunia itu.

philippe petit: si pendekar tali tinggi yang melawan graviti dan menari di antara awan

Foto: The Guardian

Untuk mempersiapkan diri, Petit berlatih secara ekstrem. Beliau memulakan siri aksi secara ‘haram’ termasuk meniti di antara menara Katedral Notre Dame, Paris pada tahun 1971 dan meniti di atas tiang Sydney Harbour Bridge, Australia pada tahun 1973.

Setiap aksi dirancang dengan penuh teliti dan dilakukan secara rahsia, tanpa permit, tanpa kebenaran hanya berbekalkan impian dan keberanian.

Untuk aksi di WTC, Petit menyamar sebagai buruh binaan, jurnalis dan juga arkitek demi menembusi kawalan keselamatan. Beliau menyusup masuk bersama beberapa rakan ke dalam menara dan membuat persiapan sepanjang malam 6 Ogos 1974.

Pukul 7 pagi keesokan harinya, ketika warga New York sedang sibuk dengan trafik pagi, Petit melangkah ke atas tali ataupun lebih tepat lagi, sehelai kabel kecil yang merentasi dua menara gergasi.

Beliau berjalan lapan kali ulang-alik selama 45 minit, malah sempat berdiri di atas satu kaki, berbaring dan tunduk memberi hormat kepada orang ramai yang memerhati dari bawah.

Apabila hujan mula turun, Petit akhirnya turun dari menara dan menyerah diri kepada pihak berkuasa. Beliau ditahan atas kesalahan menceroboh, tetapi tidak dipenjarakan namun dengan syarat unik iaitu buat persembahan untuk orang awam di Central Park.

philippe petit: si pendekar tali tinggi yang melawan graviti dan menari di antara awan

Foto: The New York Times

Petit bukan saja menerima syarat itu dengan gembira, malah kemudian menjadi artis residen di pelbagai lokasi terkenal termasuk Lincoln Center dan Katedral St. John the Divine.

Kisah Philippe Petit bukan sekadar mengenai keberanian, tetapi mengenai kekuatan impian dan kreativiti manusia yang tiada batas.

philippe petit: si pendekar tali tinggi yang melawan graviti dan menari di antara awan

Foto: The New York Times

Aksinya telah diabadikan dalam buku ‘To Reach the Clouds’ (kemudian diberi tajuk Man on Wire). Dokumentari bertajuk Man on Wire (pemenang Oscar 2009) dan sebuah filem bertajuk The Walk (lakonan Joseph Gordon-Levitt, 2015).

51 tahun telah berlalu, namun langkah-langkah Philippe Petit di antara awan tetap hidup dalam sejarah bukan hanya sebagai aksi fizikal, tetapi sebagai metafora bahawa jika kita berani bermimpi, langit bukanlah hadnya.

"Life should be lived on the edge. You have to exercise rebellion: to refuse to tape yourself to rules, to refuse your own success, to refuse to repeat yourself, to see every day, every year, every idea as a true challenge, and then you are going to live your life on a tightrope." - Philippe Petit

SINAR Muzik Retro Terbaik