
Kanser payudara terus menjadi musuh senyap nombor satu wanita di seluruh dunia dan angka terbaharu ini cukup menggerunkan. Penyelidikan terbaharu mendedahkan jumlah kes global dijangka melonjak melebihi 3.5 juta menjelang tahun 2050.
Advertisement
Lebih membimbangkan, walaupun negara berpendapatan tinggi berjaya menurunkan kadar kematian hampir 30% sejak 1990, negara berpendapatan rendah pula menyaksikan kematian hampir dua kali ganda meningkat dalam tempoh sama.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Oncology menganalisis trend kanser payudara di 204 negara dan wilayah selama lebih tiga dekad dan hasilnya menunjukkan satu realiti pahit, nasib pesakit banyak bergantung kepada negara tempat mereka dilahirkan.
Menurut laporan tersebut:
- 2.3 juta wanita didiagnosis kanser payudara pada tahun 2023
- 764,000 kematian direkodkan tahun yang sama
- Hampir 1 daripada 4 kes kanser wanita di seluruh dunia adalah kanser payudara
Di negara berpendapatan tinggi, pelaburan besar dalam saringan awal, pengesanan dan rawatan moden membuahkan hasil apabila kadar kematian menurun hampir 30% antara 1990 hingga 2023.
Namun di negara berpendapatan rendah, realitinya jauh berbeza. Dalam tempoh sama kadar kematian meningkat hampir 99% dan kadar diagnosis melonjak sebanyak 147%.
Bagi wanita di Afrika sub-Sahara, khususnya di bahagian tengah dan barat, angka kematian kini lebih dua kali ganda purata global dan sekitar 35 kematian bagi setiap 100,000 penduduk setahun (diselaraskan mengikut umur).
Pakar onkologi dari Massachusetts General Hospital, Dr. Kamal Menghrajani, menegaskan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Keputusan rawatan kanser seseorang tidak seharusnya bergantung pada negara tempat mereka tinggal,” katanya.

Peningkatan kes sebenarnya bukan satu-satunya isu. Jurang besar ini berpunca daripada ketidakseimbangan antara peningkatan diagnosis dan keupayaan sistem kesihatan untuk merawat pesakit. Menurut pakar, kesedaran dan saringan sahaja tidak mencukupi. Rawatan kanser payudara memerlukan sistem tersusun dan lengkap melibatkan pembedahan, radioterapi dan kemotherapi atau rawatan sasaran
Penulis kanan kajian, Dr. Lisa Force dari University of Washington, menegaskan bahawa walaupun kemajuan dicapai di negara kaya, ketidaksamarataan semakin melebar.
Realitinya hari ini seorang wanita di negara maju mempunyai peluang lebih tinggi untuk sembuh manakala wanita di negara berpendapatan rendah berisiko kehilangan nyawa walaupun penyakit dikesan.
Dengan unjuran 3.5 juta kes menjelang 2050, isu ini bukan lagi sekadar statistic, ia adalah krisis kesihatan global.
Pakar menyeru pelaburan besar dalam menambah infrastruktur rawatan, lebih tenaga pakar perubatan dan kuatkan sistem sokongan pesakit.
Sumber: CNN