Foto: Agensi
Seorang jururawat pergigian berjaya memperoleh pampasan sekitar £25,000 (kira-kira RM143,000) selepas mahkamah pekerjaan mendapati beliau menjadi mangsa buli rakan sekerja yang sering menjelingnya ketika bertugas.
Advertisement
Tribunal memutuskan bahawa Maureen Howieson, 64, menerima layanan biadab dan diperkecilkan sepanjang berkhidmat di sebuah klinik pergigian.
Ketegangan bermula selepas kemasukan seorang ahli terapi pergigian baharu, Jisna Iqbal, yang enggan melaksanakan beberapa tugas serta kerap menjeling setiap kali Howieson bercakap dengannya.
Howieson, dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pergigian, ketika itu hanya ditempatkan di kaunter pendaftaran kerana masalah kesihatan. Sementara itu, Jisna yang berasal dari India merupakan doktor gigi tetapi belum layak merawat pesakit di United Kingdom.
Seorang doktor gigi lain, Daniela Siersch, turut mengesahkan Jisna pernah menolak arahan termasuk membersihkan tandas sebelum pemeriksaan kerana merasakan tugas tersebut tidak sepadan dengan kelulusannya.
Situasi yang berpanjangan akhirnya memberi kesan emosi kepada Howieson sehingga mengalami serangan panik dan menangis di tempat kerja, sebelum memilih untuk meletakkan jawatan pada Oktober 2024.
Pemilik klinik, Dr Fary Johnson Vithayathil, mengakui sedar tentang masalah melibatkan Jisna sejak awal namun gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Hakim pekerjaan, Ronald Mackay, mendapati majikan membiarkan persekitaran kerja bermusuhan berlaku tanpa penyelesaian, sekali gus melakukan pelanggaran kontrak serius serta pemecatan tidak adil terhadap Howieson.
Beliau menegaskan janji-janji yang dibuat kepada Howieson tidak pernah ditunaikan, menyebabkan keadaan semakin buruk.
Sumber: Metro.co UK