Foto: Facebook
Selepas dua dekad menjauh dari dunia seni, nama Datin Juliana Banos akhirnya kembali menjadi bualan apabila beliau sah menyertai GenkRU Finale, sebuah projek khas yang menyatukan kembali kumpulan legenda KRU dengan artis kolaborasi mereka.
Advertisement
Dalam temubual eksklusif, Juliana atau nama sebenarnya Juliana Azman Banos berkongsi bagaimana KRU sudah lama mengajaknya kembali, namun pelbagai pertimbangan membuatkan dirinya mengambil masa bertahun-tahun sebelum akhirnya bersetuju.
“Sebenarnya saya dah retire,” katanya ketika ditanya mengapa menghilang begitu lama selepas berkahwin.
“Jadi, nak muncul ni kira macam… dah lama KRU ajak. Dan juga anak saya nak sangat tengok mama dia menyanyi. So I think that was more of apa yang menyebabkan saya kembali menyanyi. Kalau tak, mungkin tidak,” ujarnya lagi.
Juliana, yang bakal tampil berduet semula bersama KRU, mengakui kehidupannya berubah sepenuhnya selepas meninggalkan dunia glamor.
“Fokus dengan keluarga. Family dan anak-anak adalah my priority. Jadi saya fokus dengan keluarga sahaja. Saya ada tiga anak, umur pula dari 12 hingga 18,” katanya ketika ditanya apa yang dilakukannya sepanjang menyepi dari radar hiburan.
Apabila diajukan soalan tentang apa yang paling disukainya selain menyanyi atau berlakon, Juliana berkata kehidupan hariannya kini cukup sederhana dan membahagiakan.
“Saya selesa dengan rutin harian saya. Hantar anak pergi sekolah, bersama anak-anak. Spend time dengan mereka. Saya gembira lakukan semua itu,” katanya lagi.
Juliana bagaimanapun mengakui dirinya lebih menyukai kehidupan sekarang yang lebih tenang sebagai ibu dan lebih privasi berbanding kehidupan lamanya sebagai selebriti popular yang menjadi tumpuan publik.
Kemunculan semula Juliana menerusi GenkRU Finale bukan sekadar nostalgia, tetapi juga hadiah buat anak-anaknya yang akhirnya dapat melihat ibu mereka kembali ke pentas, tempat asal yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.
Sumber: TikTok