Skip to main content

Advertisement

Berita

Lebih 30 Tahun Terbiar, Highland Towers Akhirnya Akan Dirobohkan Sebelum Akhir 2026

Gambar: Wikipedia

Selepas lebih tiga dekad menjadi simbol tragedi dan bangunan terbiar yang menyimpan sejarah hitam negara, kompleks kondominium Highland Towers di Hulu Klang, Selangor akhirnya dijangka akan dirobohkan sebelum penghujung tahun ini selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Advertisement

Perkembangan itu diumumkan selepas Mahkamah Majistret minggu lalu membenarkan permohonan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan kerja-kerja perobohan terhadap struktur bangunan yang telah lama ditinggalkan.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari, keputusan tersebut membuka laluan kepada tindakan lanjut selepas kawasan itu dibiarkan tanpa penyelesaian selama lebih 30 tahun.

Beliau memaklumkan bahawa MPAJ kini sedang menyelaraskan proses seterusnya termasuk urusan bersama pihak yang akan mengendalikan kerja perobohan.

“Kita akan anjurkan satu mesyuarat pelarasan membabitkan pihak pemilik unit yang diwakili oleh pihak pemaju dan insolvensi.

Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan… Kita dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Tanpa Kenderaan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat MPAJ 2026 di Ampang pada 14 Jun.

Kos Perobohan Dianggarkan Cecah RM7 Juta

Sebenarnya usaha untuk merobohkan baki struktur Highland Towers telah digerakkan lebih awal.

Pada tahun 2024, MPAJ memulakan proses permohonan rasmi susulan aduan penduduk sekitar yang menyuarakan kebimbangan mengenai aspek keselamatan serta keadaan kawasan yang semakin tidak terurus.

Ketika itu, Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad menganggarkan kos keseluruhan kerja perobohan boleh mencecah antara RM6 juta hingga RM7 juta.

Selain isu keselamatan, kawasan tersebut turut dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat dan masalah sosial selepas bertahun-tahun ditinggalkan tanpa penghuni.

Sebelum ini sekitar tahun 2021, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pernah memaklumkan bahawa kementerian mempunyai perancangan untuk mengindahkan semula kawasan Highland Towers serta menjadikannya kawasan yang lebih lestari dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Perobohan ini dilihat sebagai langkah awal ke arah merealisasikan perancangan tersebut.

Untuk rekod, pada 11 Disember 1993, Menara 1 Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam satu tragedi yang mengorbankan 48 nyawa.

Dalam kejadian itu, pasukan penyelamat berjaya menemukan dua individu yang masih hidup daripada runtuhan.

Antara mangsa yang terkorban termasuk anak dan menantu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam iaitu Carlos Rashid dan Rosina Abu Bakar.

Siasatan pihak berkuasa ketika itu mempercayai kejadian berpunca daripada hakisan tanah selepas hujan lebat yang menjejaskan kestabilan struktur kawasan tersebut.

Sejak tragedi itu, dua blok yang masih tinggal dibiarkan kosong dan akhirnya mendapat gelaran sebagai 'bangunan hantu', selain sering dikaitkan dengan aktiviti penagihan dadah serta masalah sosial yang mengganggu penduduk setempat.

Kini, selepas lebih 30 tahun berdiri sebagai tinggalan tragedi, Highland Towers bakal memasuki fasa baharu apabila struktur yang masih ada dijangka akhirnya dirobohkan sebelum tirai 2026 berakhir.

SINAR Muzik Retro Terbaik