Skip to main content

Advertisement

Berita

Dara, Amoi & Kelat Dijangka Tinggal di Jepun Selama 25 Tahun, MPT Beri Jaminan Kebajikan Terjaga

Foto: Kosmo

Tiga gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Zoo Tennoji dijangka terus ditempatkan di Jepun sehingga 25 tahun menerusi kerjasama antarabangsa yang dimeterai sejak 2022.

Advertisement

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan berkata, penempatan ketiga tiga gajah itu adalah hasil kerjasama antara Zoo Tennoji dan Zoo Taiping & Night Safari.

“Perjanjian ini adalah bagi tempoh 25 tahun dan program seperti ini sudah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keadaan semasa Dara, Amoi dan Kelat berada dalam keadaan baik serta dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar dan mahut berpengalaman.

Menurutnya, pemantauan itu melibatkan aspek kesihatan, pemakanan, tingkah laku dan habitat bagi memastikan tahap kebajikan haiwan sentiasa berada dalam keadaan optimum.

“Berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan baik,” katanya lagi.

Foto: The Vibes

Dalam pada itu, Mohamed Akmal berkata kemudahan yang disediakan di zoo berkenaan turut memenuhi piawaian antarabangsa termasuk ruang habitat yang mencukupi, penjagaan harian tersusun serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan.

Beliau turut berkongsi perkembangan positif apabila ketiga tiga gajah tersebut menunjukkan peningkatan berat badan sejak ditempatkan di Jepun.

Menurut rekod kesihatan terkini, Kelat merekodkan pertambahan sebanyak 440 kilogram apabila beratnya meningkat daripada 2,360kg kepada 2,800kg.

Dara pula bertambah sebanyak 215kg daripada 1,985kg kepada 2,200kg, manakala Amoi meningkat 200kg daripada 1,280kg kepada 1,480kg.

“Perkembangan ini mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian haiwan yang baik serta terkawal,” jelasnya.

Dalam masa sama, pihak MPT memaklumkan laporan berkaitan keadaan Dara, Amoi dan Kelat akan dikongsikan secara berkala kepada orang ramai berdasarkan maklumat rasmi diterima daripada Zoo Tennoji.

Katanya, langkah tersebut dilakukan sebagai usaha memastikan ketelusan selain memberi jaminan bahawa kebajikan ketiga tiga gajah itu sentiasa menjadi keutamaan.

Sumber: Kosmo

SINAR Muzik Retro Terbaik