
Apa sebenarnya yang berlaku selepas seseorang menderma darah?
Bagi memberi gambaran lebih jelas kepada masyarakat mengenai perjalanan darah yang didermakan sehingga sampai kepada pesakit yang memerlukan, pasukan GEN Pagi SINAR baru-baru ini mengadakan lawatan khas ke Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur.
Advertisement
Lawatan tersebut memberi peluang kepada penyampai GEN Pagi SINAR melihat sendiri operasi harian di PDN, sekali gus memahami proses penting di sebalik pengurusan bekalan darah negara.
Daripada proses pendaftaran penderma dan saringan kesihatan, sehinggalah pengambilan, penyimpanan serta aspek keselamatan, setiap langkah memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan darah yang diterima berada pada tahap terbaik untuk kegunaan pesakit.
Lebih Faham, Lebih Yakin Untuk Menderma
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, pengalaman melihat sendiri proses di PDN membuka mata pasukan penyiaran tentang betapa pentingnya peranan setiap individu dalam membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Melalui lawatan khas ini, kami dapat memahami dengan lebih mendalam proses derma darah yang dilaksanakan oleh Pusat Darah Negara. Ramai dalam kalangan masyarakat mungkin mempunyai persoalan atau keraguan mengenai prosedur derma darah.”
Beliau berkata, pengalaman secara langsung itu juga membolehkan pasukan GEN Pagi SINAR berkongsi maklumat yang lebih tepat kepada pendengar, selain memberi keyakinan kepada orang ramai untuk tampil sebagai penderma darah.
“Dengan pengalaman yang kami peroleh secara langsung, kami berharap dapat berkongsi maklumat yang tepat dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk tampil sebagai penderma darah.”

Bukan Sekadar Derma, Tetapi Peluang Menyelamatkan Nyawa
Sepanjang lawatan, pasukan GEN Pagi SINAR turut berinteraksi dengan pegawai dan petugas PDN bagi mendapatkan penerangan mengenai pelbagai aspek pendermaan darah.
Antara yang dikongsikan termasuk kriteria kelayakan penderma, kepentingan menderma secara konsisten serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Zureen berkata, inisiatif tersebut selari dengan komitmen SINAR untuk menghasilkan kandungan yang bukan sekadar menghiburkan, malah mampu memberi manfaat dan nilai tambah kepada masyarakat.
“Di SINAR, kami percaya bahawa media mempunyai peranan penting dalam menyebarkan kesedaran mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada komuniti. Bekalan darah yang mencukupi amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan kami berharap perkongsian daripada lawatan ini dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia tampil menderma darah secara berkala.”
Melalui perkongsian pengalaman mereka menerusi platform radio dan digital SINAR, GEN Pagi SINAR berharap lebih ramai masyarakat dapat memahami bahawa proses derma darah adalah selamat, mudah dan memberi impak besar kepada kehidupan insan lain.
Setiap beg darah yang didermakan mungkin kelihatan seperti satu sumbangan kecil, namun bagi pesakit yang memerlukan, ia boleh menjadi sesuatu yang jauh lebih besar iaitu peluang untuk meneruskan kehidupan.
Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik, selain komited menggunakan pengaruh platformnya untuk mendekati masyarakat menerusi kandungan yang menghiburkan, informatif dan memberi kesedaran.