Foto: Astro AWANI
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan potongan 50 peratus bagi bayaran saman tertunggak selama dua bulan bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Advertisement
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran diskaun tersebut melibatkan semua jenis saman kecuali kes yang tidak boleh dikompaun dan perlu dibawa ke mahkamah.
Menurutnya, pengguna jalan raya digalakkan merebut peluang ini dengan membuat bayaran di kaunter JPJ atau menerusi saluran pembayaran yang disediakan.
“Kita gesa semua rakyat ambil peluang dua bulan ini untuk selesaikan saman masing-masing kerana mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun akan ditawarkan kepada umum termasuk saman JPJ dan saman PDRM,” katanya pada sidang media khas Op Gempur, malam tadi.
Tambahnya, diskaun ini tidak meliputi saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat (114), dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly memaklumkan JPJ turut melancarkan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember ini bagi membanteras kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Setakat ini, sebanyak 27,300 kenderaan telah diperiksa dan 1,017 daripadanya dikesan membawa barangan melebihi muatan.
“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan telah disaman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, manakala 96 lori turut disita,” katanya.
Beliau berkata, operasi menumpukan kenderaan membawa bahan berat seperti batu, kerikil dan besi di kawasan ‘hotspot’ termasuk kuari dan kilang logam.
JPJ, katanya, akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, memelihara infrastruktur awam dan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan.
Sumber: Astro AWANI