Foto: Instagram
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini mengesahkan bahawa pernikahan pasangan selebriti Ahmad Kamal Ahmad Adli (Kamal Adli), 39, dan Nik Zaris Uqasha Nik Sen (Uqasha Senrose), 33, dijalankan secara sah mengikut hukum syarak.
Advertisement
Menurut JAIP, berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, majlis akad nikah pasangan berkenaan diadakan pada 4 November 2021 jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.
Majlis tersebut dijalankan dengan kehadiran wali mujbir, iaitu bapa kandung pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin, yang telah mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk melaksanakan akad nikah tersebut.
JAIP turut menjelaskan bahawa majlis pernikahan pasangan itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 yang masih berkuat kuasa ketika itu.
“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum syarak,” jelas JAIP dalam satu kenyataan.
Pengesahan tersebut sekali gus menjawab spekulasi mengenai status perkahwinan Kamal dan Uqasha, yang kini sedang berdepan kemelut rumah tangga.
Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Instagram yang kemudian dipadam, Uqasha mendakwa dirinya diperdaya oleh Kamal dan keluarga, dengan mendakwa tarikh sebenar akad nikah ialah 5 November 2021 jam 9 pagi, bukannya 4 November 2021 seperti tercatat dalam sijil pernikahan.
Dalam perkembangan lain, kes sebutan pertama perceraian pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan yang dijadualkan semalam telah ditangguhkan ke 28 Oktober ini selepas Kamal dilaporkan tidak hadir kerana terikat dengan jadual penggambaran, meskipun telah dimaklumkan lebih awal mengenai prosiding tersebut.
Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan bahawa anak guamnya hadir ke mahkamah seawal jam 9 pagi, namun prosiding tidak dapat diteruskan berikutan ketidakhadiran defendan.
Sumber: Berita Harian