Foto sekadar hiasan
Pernah tertanya kenapa setiap kali pesawat mahu berlepas atau mendarat, kru kabin akan meminta semua penumpang membuka penutup tingkap? Ada yang beranggapan ia hanya peraturan kecil tanpa sebab kukuh tetapi sebenarnya, ia berkait rapat dengan keselamatan penerbangan.
Advertisement
Baru-baru ini, seorang pengguna platform Threads bertanya secara berseloroh,
“Airplane people... can someone explain why I need to open the blind when landing and taking off? Why do the crew act like the plane won’t work if this is down?”
Menjawab persoalan itu, seorang kru kabin menjelaskan bahawa penumpang sebenarnya berperanan sebagai “mata tambahan” kepada kru ketika dua fasa paling kritikal dalam penerbangan, iaitu berlepas dan mendarat.
“Ketika itu kami perlu duduk di stesen masing-masing dan bersedia sekiranya berlaku kecemasan. Dengan tirai tingkap terbuka, penumpang boleh membantu kami mengesan jika ada asap, api atau kerosakan di luar pesawat, terutamanya di bahagian enjin,” tulis kru itu.
Penjelasan tersebut turut disahkan oleh laporan beberapa agensi penerbangan antarabangsa. Menurut Pentadbiran Penerbangan Awam Eropah (EASA) dan beberapa sumber seperti Euronews serta NDTV Travel, membuka tirai tingkap membolehkan kru dan penumpang menilai keadaan di luar pesawat dengan lebih pantas sekiranya berlaku insiden.
Selain itu, pencahayaan semula jadi dari luar membantu mata penumpang menyesuaikan diri dengan cahaya di luar sekiranya berlaku evakuasi. Jika tirai ditutup, perbezaan cahaya yang ketara antara kabin dan luar pesawat boleh melambatkan tindak balas penumpang semasa kecemasan.
Fakta lain yang jarang diketahui ialah, sekitar 80 peratus kemalangan udara dilaporkan berlaku ketika fasa berlepas dan mendarat. Justeru, setiap prosedur kecil seperti membuka penutup tingkap sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan semua penumpang.
Jadi lain kali apabila kru kabin meminta anda membuka penutup tingkap, ketahuilah ia bukan sekadar arahan rutin tetapi langkah keselamatan yang boleh menyelamatkan nyawa jika sesuatu di luar jangka berlaku.
Sumber: Thread, EASA, Euronews, NDTV Travel