Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Indonesia Perkenal Ejaan Baharu Nama Negara, Thailand Kini Dirujuk Sebagai Tailan

indonesia perkenal ejaan baharu nama negara, thailand kini dirujuk sebagai tailanFoto: Asia Times

Indonesia mengumumkan penyelarasan ejaan rasmi bagi beberapa nama negara sebagai sebahagian usaha memperkemaskan penggunaan bahasa Indonesia dalam dokumen kerajaan serta urusan di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Pengumuman itu dibuat berdasarkan dokumen rasmi yang dilaporkan CNBC Indonesia pada 19 Januari 2026, susulan pendaftaran dan pengesahan data kepada United Nations Group of Experts on Geographical Names (UNGEGN) pada tahun 2025.

Menurut kandungan dokumen tersebut, penyelarasan ini dilakukan bagi memastikan penulisan nama negara mematuhi senarai rujukan UNGEGN 2021, sekali gus memudahkan penggunaan yang konsisten dalam sektor pentadbiran, pendidikan dan komunikasi global.

“Langkah ini bertujuan memastikan nama negara ditulis dengan tepat dan seragam supaya dapat digunakan sebagai rujukan yang jelas dalam semua urusan rasmi dan pendidikan,” menurut kenyataan berkenaan.

Sebanyak 10 buah negara terlibat dalam perubahan ejaan rasmi bahasa Indonesia, termasuk Cabo Verde yang kini dirujuk sebagai Tanjung Hijau, Djibouti menjadi Jibuti, Kyrgyzstan kepada Kirgistan dan Liechtenstein kepada Liktenstin.

Perubahan turut melibatkan Paraguay yang kini dieja sebagai Paraguai, Slovakia sebagai Slowakia, Slovenia sebagai Slowenia, Seychelles sebagai Seisel, Sierra Leone sebagai SieraLioni serta Thailand yang kini menggunakan ejaan Tailan.

Inisiatif ini dipacu oleh Badan Informasi Geospasial dengan kerjasama Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, selain sokongan pakar linguistik dari Universiti Indonesia.

Menurut pihak terlibat, penggunaan ejaan yang seragam amat penting bagi memastikan ketepatan maklumat dalam bahan pembelajaran, buku teks, laporan media serta urusan surat-menyurat rasmi, di samping mengelakkan kekeliruan dalam penyampaian maklumat.

Usaha ini sekali gus mencerminkan komitmen Indonesia untuk menambah baik sistem linguistik kebangsaan agar lebih tersusun, konsisten dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Sumber: Kumparan

SINAR Muzik Retro Terbaik