Foto: Facebook
Kerajaan Indonesia dilaporkan sedang menjemput Malaysia untuk bekerjasama dalam membangunkan teknologi semikonduktor generasi baharu, yang merupakan salah satu kelebihan yang kini dimiliki Malaysia.
Advertisement
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, mengakui Malaysia jauh lebih maju dalam industri cip, tetapi menegaskan bahawa pasaran generasi baharu masih luas dan terbuka untuk dieksploitasi secara bersama.
“Malaysia memang sudah lama mendahului dalam sektor semikonduktor, tetapi bagi kategori generasi baharu, peluang pasaran masih belum dikuasai sepenuhnya.
“Indonesia ingin memanfaatkan kepakaran Malaysia untuk membangunkan industri ini bersama,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IEC) 2026 di Jakarta, menurut laporan ANTARA.
Airlangga menambah bahawa kerjasama itu amat strategik kerana Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam rantaian bekalan semikonduktor yang matang. Indonesia berharap sinergi ini dapat mempercepatkan pembangunan kapasiti sumber manusia dan pemindahan teknologi yang kritikal bagi industri mereka.
Kerajaan Indonesia kini sedang melaksanakan pembangunan industri melalui tiga fasa serentak seperti memperkukuh ekosistem syarikat pemula, transformasi industri sedia ada, dan penghasilan cip untuk keperluan pengkomputeran.
Fokus khusus diberikan kepada sektor automotif digital dan peranti elektronik bagi mempercepat kemajuan teknologi domestik.
Airlangga turut menekankan bahawa penguasaan teknologi generasi baharu adalah kunci untuk bersaing di peringkat global, termasuk dalam pembangunan peranti mudah alih, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan komputer peribadi.
Beliau juga menambah bahawa Indonesia sudah mempunyai kelebihan dalam sektor huluan seperti bekalan pasir silika dan industri kaca terapung untuk panel solar, dan melalui kolaborasi dengan Malaysia, mereka berharap industri pencetakan cip boleh dibangunkan seterusnya untuk meningkatkan nilai industri domestik.
Sumber: ANTARA News