
Indonesia melakar sejarah apabila secara rasmi menjadi negara pertama di Asia yang melaksanakan larangan menyeluruh terhadap tunggangan gajah dan persembahan tidak semula jadi melibatkan haiwan itu.
Advertisement
Keputusan berani ini dimuktamadkan menerusi Surat Edaran No. 6 Tahun 2025 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, yang dikeluarkan pada hujung 2025 dan berkuat kuasa wajib bermula Januari 2026.
Di bawah arahan baharu ini, semua bentuk eksploitasi berunsur hiburan terhadap gajah kini diharamkan sepenuhnya. Antaranya:
- Tunggangan gajah untuk pelancong
- Persembahan ala sarkas seperti melukis dan bermain bola sepak
- Interaksi paksa termasuk mandi bersama pelawat
- Sesi fotografi jarak dekat yang memaksa sentuhan
Langkah ini jelas menunjukkan perubahan besar daripada model pelancongan berasaskan eksploitasi kepada pendekatan lebih beretika dan berkonsep pemerhatian semula jadi.
Bukan itu sahaja, amalan latihan kejam yang dikenali sebagai ‘the crush’, sebuah proses mematahkan semangat gajah secara paksa turut diharamkan.

Penggunaan alat seperti bullhook, pelana berat yang boleh merosakkan tulang belakang, serta rantai untuk mengikat gajah juga kini dilarang sama sekali.
Langkah ini dianggap sebagai satu revolusi dalam industri pelancongan hidupan liar di rantau Asia Tenggara.
Keputusan Indonesia menerima pujian meluas daripada organisasi antarabangsa termasuk PETA Asia dan World Animal Protection.
Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan berani dan berprinsip, malah menggesa negara jiran seperti Thailand, India dan Nepal supaya mencontohi langkah sama.
Selama bertahun-tahun, aktiviti tunggangan dan persembahan gajah menjadi tarikan pelancong. Namun di sebalik senyuman dan gambar cantik di media sosial, wujud realiti latihan paksa dan penderitaan yang jarang didedahkan.